PASTI ada antara kita yang pernah berasa bosan dan letih dengan rutin kehidupan harian yang dilalui setiap hari sehingga terfikir untuk meninggalkan semuanya, menghilangkan diri dan mulakan kehidupan baharu. Keinginan itu boleh jadi bertambah kuat apabila kita melakukan satu kesalahan besar atau kekecewaan yang membuatkan diri berasa malu dan tidak yakin untuk berhadapan dengan keluarga, rakan-rakan dan masyarakat.ARTIKEL BERKAITAN: Tak kisah masih solo, kenali 4 tanda anda mungkin golongan 'takut' komitmen Meskipun terfikir untuk menghilangkan diri tetapi biasanya ia sekadar perasaan dan tidak ramai melakukannya atas pelbagai faktor tetapi ia bukan sesuatu yang asing di Jepun. Di negara matahari terbit itu, ia dikenali sebagai Jouhatsu yang merujuk kepada individu yang tiba-tiba menghilangkan diri tanpa dapat dikesan keberadaan mereka selama bertahun-tahun. Masalah hutang, keluarga dan perkahwinan antara alasan biasa mengapa ramai menghilangkan diri. Salah seorang Juhatsu, Sugitomo, 42, memberitahu dia menghilangkan diri dan memulakan kehidupan baharu kerana sudah muak dengan pelbagai masalah menimpanya selain tidak ingin berhubung dengan sesiapa daripada kehidupan lampaunya. "Saya masih ingat, ketika menghilangkan diri, saya hanya bawa sebuah beg dan meninggalkan benda lain dan melarikan diri," katanya seperti dilaporkan BBC. Sugitomo berkata, sebelum menghilangkan diri, dia tinggal di sebuah perkampungan kecil di mana semua orang mengenali antara satu sama lain. Dia bertindak melarikan diri selepas diasak oleh keluarga dan penduduk kampung untuk meneruskan perniagaan milik keluarganya justeru dia bertindak melarikan diri tanpa memberitahu sesiapa. Syarikat perkhidmatan Jouhatsu Pengakuan Sugitomo itu hanyalah satu di antara ribuan kes Jouhatsu di Jepun dan antara penyebab mendorong lebih ramai melarikan diri daripada kehidupan mereka adalah kerana hutang keliling pinggang, perceraian dan masalah keluarga. Individu yang menghilangkan diri mahu memulakan kehidupan baharu. Disebabkan semakin ramai yang ingin menghilangkan diri, wujud pula pelbagai syarikat perkhidmatan Jouhatsu bagi membantu individu melarikan diri secara senyap. Operasi dipanggil 'night moving' itu bagi membantu mereka mencari tempat tinggal baharu secara rahsia selain memindahkan barangan mereka tanpa pengetahuan sesiapa. "Pada awalnya ramai yang ingin menghilangkan diri kerana lari daripada hutang tetapi sejak akhir-akhir ini ia bukan lagi sebab utama sebaliknya terdapat pelbagai sebab orang ingin memulakan kehidupan baru," kata pemilik syarikat perkhidmatan Jouhatsu, Sho Hatori. Jouhatsu bermula sejak era 1960-an Ahli sosiologi, Hiroki Nakamori pula memberitahu Jouhatsu telah mula berlaku sejak era 1960-an di mana ketika itu ramai yang ingin bercerai tetapi berasa malu untuk berbuat demikian. Selain itu, pada zaman itu, proses perceraian di Jepun cukup rumit yang membuatkan mereka menghilangkan diri sebagai cara terbaik untuk berpisah dengan pasangan masing-masing. Jouhatsu sudah bermula sejak era 1960-an di Jepun. Lebih membuatkan ramai nekad melarikan diri adalah privasi mereka sangat dilindungi malah mereka boleh mengeluarkan wang di mesin ATM tanpa diketahui sesiapa. "Polis tidak akan campur tangan kecuali ada alasan lain seperti berlaku perbuatan khianat atau kemalangan. "Sekiranya keluarga tetap ingin mengesan ahli keluarga, mereka perlu mengupah penyiasat peribadi atau tunggu sahaja kepulangan mereka," katanya. Sementara itu, Sugimoto memberitahu perasaan sedih dan menyesal masih menebal di dalam dirinya meskipun sudah memulakan kehidupan baharu. Setiap hari katanya, dia sentiasa terkenangkan isteri dan anak-anak yang ditinggalkan malah sentiasa tertanya-tanya keadaan mereka.