SETIAP kali tiba hari raya, golongan kanak-kanak yang paling teruja dan gembira. Bukan setakat dapat melaram dengan baju dan kasut baharu, tetapi mereka juga paling seronok kerana mendapat duit raya daripada sanak saudara dan jiran tetangga. Sebagai ibu bapa, anda bertanggungjawab untuk memastikan duit raya anak-anak disimpan serta diurus dengan cermat, agar ia dapat dimanfaatkan untuk perkara-perkara berfaedah pada masa akan datang. Ramai ibu bapa masih tercari-cari kaedah terbaik bagaimana untuk menguruskan duit raya anak-anak. Kali ini mStar kongsikan beberapa kaedah menyimpan duit raya anak untuk dijadikan sebagai panduan bersama. 1) Asingkan duit raya anak Ini adalah perkara pertama yang perlu dilakukan oleh ibu bapa setiap kali si anak mendapat duit raya. Asingkan siap-siap duit raya yang dikumpul agar anda tidak 'terguna'. Jangan tak tahu, menggunakan duit raya anak sesuka hati adalah haram. Ini berdasarkan kenyataan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, yang memetik jumhur (majoriti) fuqaha' di dalam mazhab asy-Syafie, Hanafi dan Maliki yang berpendapat, ayah tidak boleh mengambil harta anaknya kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja. ARTIKEL BERKAITAN: Balik beraya rumah mak ayah, jangan buat-buat lupa 13 perkara penting ini... mudahkanlah urusan semua orang 2) Simpan dalam akaun pelaburan jangka panjang Ada sesetengah ibu bapa yang sudah membuka akaun simpanan sejak anak-anak masih bayi, antaranya akaun Tabung Haji. Tak perlu risau atau pening... depositkan saja duit raya anak-anak. Lagipun itu adalah duit raya anak, bukan duit yang diberi untuk kegunaan seisi keluarga. Salah satu kelebihan Tabung Haji, ia merupakan perbankan patuh syariah dan sudah siap-siap ditolak untuk zakat (zakat wang simpanan). 3) Akaun SSPN-i Sememangnya ini merupakan antara cara yang sebaiknya dilakukan oleh ibu bapa. Skim Simpanan Pendidikan Nasional atau SSPN-i adalah gabungan antara tabung pendidikan dan takaful. Paling best, akaun ini boleh dibuka menerusi online. Pendeposit SSPN-i akan menerima manfaat kesihatan dan pengecualian cukai simpanan bersih. Lagipun, ketika ini syarat untuk meminjam pinjaman PTPTN memerlukan akaun SSPN-i. Orang kata, biar buat awal supaya tak kalut nanti! 4) Terap sifat berjimat cermat Kanak-kanak ada kalanya cenderung terpengaruh dengan apa yang dilihatnya. Sebagai contoh, dek kerana terlalu meminati watak adiwira tertentu, mereka sanggup mengumpul wang bagi membeli 'merchandise', permainan atau apa sahaja barangan yang mempamerkan watak kegemaran. Tidak mustahil, duit raya akan menjadi sasaran mereka bagi membeli barangan yang dihajati. Maka di sinilah ibu bapa memainkan peranan. Gunakan pendekatan yang bijak untuk menerapkan sifat suka menabung dan berjimat-cermat. Ibu bapa boleh menggunakan formula yang direka sendiri. Sebagai contoh, mengajar anak-anak membahagikan duit raya mengikut nisbah 80:20 iaitu 80 untuk tabungan dan 20 untuk memberi barangan yang mereka hajati. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi sekarang. Senang cerita, sediakan payung sebelum hujan. Selamat mencuba! Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!