suria

Pakar jangka AI bakal gantikan 80 peratus pekerjaan manusia tak lama lagi, perlukah kita panik?

Teknologi AI dijangka menggantikan 80 peratus pekerjaan manusia pada masa akan datang. Foto: Qilai Shen/Bloomberg.

KECERDASAN buatan atau artificial intelligence (AI) mampu menggantikan 80 peratus pekerjaan manusia pada tahun-tahun akan datang.

Perkara itu dinyatakan oleh penyelidik Amerika Syarikat-Brazil, Ben Goertzel, 56, dalam acara Web Summit di Rio de Janeiro, persidangan teknologi tahunan terbesar dunia pada minggu lalu.

Dia yang juga seorang guru AI terkemuka, ahli Matematik, saintis kognitif dan pencipta robot merupakan pengasas dan ketua eksekutif SingularityNET, sebuah kumpulan penyelidikan yang dilancarkannya untuk mencipta "Kecerdasan Am Buatan", atau AGI - kecerdasan buatan dengan kebolehan kognitif manusia.

Ikuti soal jawab (Q&A) bersama Goertzel yang membincangkan isu semasa serta masa depan AI.

1. Adakah perjalanan kita untuk mencapai AI dengan kebolehan kognitif manusia masih jauh?

Sekiranya kita mahu mencipta mesin yang benar-benar pintar seperti manusia dan boleh berdepan dengan perkara yang tidak dijangka, ia memerlukan langkah yang besar dan jauh, menjangkaui latihan dan pengatucaraan semata-mata.

 Foto: MAURO PIMENTEL / AFP.

Goertzel ketika berucap di Web Summit, Rio de Janeiro. Foto: Mauro Pimentel/AFP.

Kita masih belum sampai ke tahap itu. Tetapi saya fikir ada sebab untuk kita percaya bahawa ia boleh dicapai dalam tempoh bertahun-tahun dan tidak perlu menunggu sehingga berdekad untuk sampai ke tahap itu.

2. Sekiranya AI boleh menggantikan pekerjaan, adakah ia dianggap sebagai ancaman kepada manusia?

Mengikut tekaan saya, manusia mungkin boleh kehilangan 80 peratus pekerjaan. Bukan dengan ChatGPT semata-mata, tetapi dengan sistem seperti itu, yang akan menyusul dalam beberapa tahun akan datang.

Saya tidak fikir ia satu ancaman. Saya fikir ia satu faedah. Orang ramai boleh mencari perkara yang lebih baik untuk dilakukan dengan kehidupan mereka daripada bekerja untuk mencari nafkah. Hampir setiap pekerjaan yang melibatkan kertas kerja haruslah automatik.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiba-tiba ‘leak’ gambar bogel! Rupanya ada pihak buat bisnes, curi foto di media sosial sunting guna AI - “Orang boleh beli, ramai gila seks”

3. Apakah yang boleh dilakukan oleh robot untuk masyarakat hari ini, dan apakah yang boleh mereka lakukan pada masa hadapan, jika AGI dicapai?

Anda boleh melakukan banyak kebaikan dengan AI. Seperti Grace, (jururawat robot) yang kami pamerkan di Web Summit Rio. Di Amerika, ramai orang tua duduk keseorangan di rumah orang tua. Robot itu boleh menjawab soalan, mendengar cerita, membantu membuat panggilan dengan anak-anak atau memesan sesuatu dalam talian, maka ia dapat meningkatkan kehidupan orang ramai.

Sebaik sahaja kita mencapai teknologi AGI pula, sudah tentu robot itu akan menjadi peneman yang lebih baik kepada manusia.

Giuseppe CACACE  AFP

Tidak semua pekerjaan boleh digantikan oleh robot. Foto: Giuseppe Cacace/AFP.

Dalam kes ini, ia tidak menghapuskan pekerjaan manusia. Kerana pada asasnya, tidak cukup orang yang ingin melakukan kerja jururawat dan pembantu jururawat.

Saya fikir pendidikan juga akan menjadi pasaran yang menakjubkan untuk robot humanoid, serta bantuan domestik.

4. Apakah peraturan yang kita perlukan untuk memastikan AI dapat memberi kesan positif?

Apa yang anda perlukan ialah masyarakat membangunkan AI ini untuk melakukan perkara yang baik. Dan mereka juga perlu terlibat dalam tadbir urus AI.

Masalahnya ialah syarikat yang membiayai kebanyakan penyelidikan AI tidak mengambil berat tentang melakukan perkara yang baik. Mereka mengambil berat tentang memaksimumkan nilai pemegang saham. – AFP

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain