suria

Rasa dah sedap tapi liat, rupanya salah potong! Mari belajar cara hiris daging dengan betul, baru senang nak masak

Ada cara mudah untuk memastikan daging senang dipotong dan lembut ketika dimakan.

DAGING yang liat dan susah dikunyah boleh menyebabkan kita hilang selera makan walaupun ia dimasak dengan begitu sedap.

Tidak lain tidak bukan salah satu punca daging menjadi liat selepas dimasak adalah disebabkan teknik memotong daging yang salah.

Menurut portal hellodoktor, daging merupakan otot yang terdiri daripada gabungan gentian serat.

Gentian otot ini pula disatukan melalui tisu penghubung seperti kolagen dan juga elastin.

Memotong daging ketika masih beku lebih mudah.

Otot yang paling banyak bergerak, seperti pada bahagian paha atau bahu haiwan akan menghasilkan lebih banyak tisu penghubung dan gentian otot yang kasar.

Ia menjadikan daging di kawasan tersebut lebih liat dan perlu dimasak dengan menggunakan air seperti direbus.

Cara memotong yang betul amat penting agar daging cepat disediakan dan tidak liat setelah dimasak.

Berikut adalah dua saranan cara memotong daging yang betul:

1. Bekukan daging terlebih dahulu

Daging separa beku sebenarnya lebih mudah untuk dihiris.

Ia berikutan air dalam daging membeku dan mengkristal, menjadikannya lebih berstruktur (keras).

2. Potong daging melawan urat

Sebelum memotong lihat arah serat otot daging terlebih dahulu.

Jika arah serat otot memanjang, maka anda perlu memotong atau menghiris daging tersebut secara menegak dan begitulah sebaliknya.

Cara ini amat penting, lebih-lebih lagi untuk bahagian daging yang agak liat.

Ia boleh membantu daging untuk menjadi lebih empuk setelah siap dimasak nanti.

Warna putih bergaris merupakan urat daging.

Bagi mereka yang baru berjinak-jinak masuk ke dapur mungkin masih keliru untuk melihat arah urat pada daging.

Namun alah bisa tegal biasa, lama kelamaan pasti anda menjadi mahir dalam menentukan arah urat sebelum memotong.

Selain itu anda juga perlu tahu jenis atau bahagian daging yang sesuai dengan hidangan kerana ia juga salah satu faktor mempengaruhi hasil masakan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain