suria

Geram tengok pokok sihat, buah gemuk! Wanita kongsi cara DIY racun serangga, baja guna minuman kultur

Jambu air yang disembur baja dan racun DIY berbuah dengan baik dan tidak diganggu ulat.

MENANAM pokok buah di kawasan rumah merupakan satu terapi dan hobi yang menyeronokkan.

Namun, hasil tuaian yang kurang memberangsangkan akibat buah tidak manis atau buruk dimakan ulat antara penyebab ramai 'patah semangat' untuk terus bercucuk tanam.

Bagaimanapun, terdapat dua jenis cecair semburan baja dan racun boleh dibuat sendiri (DIY) supaya pokok jambu menghasilkan buah yang lebih elok dan lebat.

Kaedah bancuhan baja dan racun tersebut dikongsikan oleh Sasya Arisya di grup Berkebun D Rumah setelah dipraktikkan sendiri di rumahnya.

Dua jenis air semburan untuk pokok buah adalah:

1. Semburan elak serangga perosak atau lalat buah

Bahan diperlukan:

1. 100ml (mililiter) air tembakau

2. 3ml cuka kayu

3. 5ml sabun pencuci pinggan (semua jenama)

4. Botol semburan (spray)

5. Penyukat (Guna penutup ubat)

Buah jambu kelihatan lebih besar setelah disembur air baja yang dibuat oleh Sasya.

Cara bancuhan:

a. Campur semua bahan sehingga sebati kemudian boleh terus digunakan.

b. Sembur pada pokok, daun atau serangga.

c. Lebih disarankan sembur waktu petang selepas jam 6 atau malam kerana serangga aktif pada waktu malam.

2. Air baja Yakult (minuman kultur)

Ia merupakan hormon untuk pokok berbuah lebat malah semburan ini sesuai untuk semua jenis tanaman.

Bahan diperlukan:

1. Dua biji telur

2. Satu botol air jenama Yakult

3. Satu botol kosong

Semburan air baja diperbuat daripada telur dan Yakult boleh digunakan untuk tanaman di rumah.

Cara bancuhan:

a. Pecahkan telur kemudian masukkan ke dalam botol kosong menggunakan corong. Masukkan sebotol air Yakult.

b. Tutup botol dan goncang hingga sebati.

c. Biarkan air diperap selama seminggu.

d. Simpan di tempat bersuhu bilik, elakkan terkena cahaya matahari.

Untuk buat semburan ke pokok, bancuh dua hingga tiga sudu besar air baja dan campur dengan 20 liter air.

Untuk siraman ke tanah, bancuh lima sudu besar air baja bersama 20 liter air.

Siram atau sembur pada tanaman waktu pagi dan petang. Seminggu sekali juga sudah memadai.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain