CAKNA dengan kebajikan dan kesejahteraan penggiat sektor ekonomi gig terutama golongan B40 yang terlibat dalam e-hailing, kerajaan menawarkan Lesen Vokasional Kelas Perkhidmatan Awam (PSV) secara percuma. Mereka yang ingin terlibat dalam sektor ini pasti dapat menarik nafas lega berikutan kos untuk mendapatkan lesen PSV ditanggung kerajaan. Manfaat itu disalurkan menerusi Program MyPSV, yang merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Perpaduan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Dengan peruntukan sebanyak RM2 juta di bawah Belanjawan 2023, ia memanfaatkan 4,000 calon di seluruh negara yang terdiri daripada 3,500 yang berdaftar untuk e-hailing/teksi dan 500 lesen PSV bas daripada golongan B40 di seluruh negara. Peruntukan tersebut merangkumi kos ujian dan latihan kepada calon dengan kadar RM2,590 untuk setiap calon PSV Bas, manakala RM190 untuk calon PSV E-Hailing/Teksi. Pelancaran Program MyPSV Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada 3 Julai lalu. Anthony Loke ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program MyPSV Peringkat Kebangsaan Tahun 2023. Dalam pada itu, Program MyPSV memperlihatkan komitmen dan usaha Kerajaan Perpaduan untuk membantu golongan B40 mempertingkatkan taraf sosioekonomi serta pendapatan isi rumah melalui peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi gig. Ia seterusnya menyokong dan menambah baik kelangsungan sektor pengangkutan awam serta pelancongan di negara ini. Selain itu, JPJ akan menyelaras senarai penerima bantuan kepada Institut Memandu (IM) dan pengendali e-hailing dengan kerjasama persatuan-persatuan pengusaha bas serta agensi-agensi lain yang terlibat. Syarat - syarat kelayakan calon merangkumi aspek berikut: 1. Warganegara Malaysia. 2. Berumur 21 tahun dan ke atas. 3. Lulus pemeriksaan kesihatan (JPJL8A). 4. Bebas senarai hitam (JPJ/PDRM/Mahkamah). 5. Pemohon Lesen Vokasional PSV (E-hailing/Teksi) mestilah memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) Kelas D. 6. Pemohon bagi Lesen Vokasional PSV (Bas dengan BTM) melebihi 7,500 kilogram mestilah memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) Kelas D (sekurang-kurangnya 1 tahun) atau CDL Kelas E. Calon-calon di bawah Program MyPSV Bas perlu menduduki Kursus Teori Vokasional, Latihan dan Ujian Praktikal (merangkumi litar dan jalan raya) setara dengan ketetapan sedia ada. Manakala calon-calon di bawah Program MyPSV E-Hailing hanya perlu menduduki Kursus Teori E-Hailing sahaja. Sehubungan itu, kerajaan berharap pemberian lesen PSV secara percuma ini dapat membantu golongan B40 mendepani cabaran ekonomi yang dihadapi mereka. Secara tidak langsung, ia dapat melahirkan pemandu kenderaan yang kompeten, selamat dan profesional bagi memenuhi keperluan pemandu dalam sektor pengangkutan awam. Sementara itu, bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif lain dalam Belanjawan 2023 yang boleh dimanfaatkan rakyat, layari https://belanjawan.mof.gov.my/manfaat. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube