suria

Awas! Pencuri boleh cabut 4 tayar kereta dalam masa singkat... Pasang alat ini kalau nak selamat

Mekanisme keselamatan ini menghalang tayar kereta dari dicuri. -Gambar hiasan Quadratec

GEMPAR di platform TikTok apabila seorang wanita mendedahkan tayar keretanya dicuri ketika ditinggalkan di lot parkir awam.

Wanita itu yang kembali ke kenderaannya apabila hari sudah malam terkejut apabila mendapati tayar depan dan belakang di bahagian kiri keretanya sudah hilang.

Kereta berkenaan seterusnya tersadai tanpa dapat dipandu, manakala wanita itu kelihatan panik kerana tidak menyangka wujud jenayah sebegitu.

Video TikTok memaparkan tayar sebuah kereta lesap dicuri.

Insiden yang menggusarkan orang ramai itu memberi kesedaran tentang kepentingan untuk memasang wheel locks atau lug nuts bagi mengelakkan kejadian sebegini daripada berulang.

Pakar kereta di Capital One, Benjamin Hunting menjelaskan bahawa wheel locks adalah sama seperti nat atau skru biasa pada tayar, cuma ia didatangi dengan ciri keselamatan yang tersendiri.

'Wheel locks' untuk tayar kereta. -Gambar hiasan Auto Repair Guys

"Pada nat tayar biasa, di bahagian kepala yang menghadap ke luar, akan ada corak bergigi bertujuan untuk memudahkan spanar memegangnya ketika hendak dilonggarkan dan dibawa keluar daripada rim tayar.

"Namun, untuk wheel locks, corak pada kepalanya direka bentuk khas yang menyebabkan spanar biasa tidak dapat membukanya. Spanar harus dilengkapi dengan soket tertentu di muncungnya untuk membuka wheel locks.

"Ia sama konsep seperti mangga di pintu rumah, ia hanya boleh dibuka dengan menggunakan kunci. Tetapi perlu diingat bahawa wheel locks bukanlah kebal daripada dibuka oleh perompak.

Empat 'wheel locks' untuk empat tayar kereta dan soket untuk membukanya. -Gambar hiasan CSP Racing

"Wheel locks akan menyukarkan tugas perompak dan membuang banyak masa mereka untuk membuka tayar itu, sekali gus menjadikan kemungkinan kereta anda menjadi mangsa kecurian tayar jauh lebih rendah," jelas Benjamin.

Walaupun begitu, ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian jika anda mengambil keputusan untuk memasang 'wheel locks' pada tayar kereta anda.

"Apabila tayar anda dipasang dengan wheel locks, penyelenggaraan seperti menggantikan tayar atau servis akan jadi sedikit renyah kerana memerlukan langkah tambahan untuk membuka tayar itu.

Proses untuk memasang 'wheel locks'. -Gambar hiasan Fred Henderson Toyota

"Selain itu, jika anda hilang soket untuk membuka wheel locks berkenaan, anda tidak akan dapat membuka tayar sehingga anda mendapatkan soket baharu daripada pembekal.

"Meskipun dengan sedikit kesulitan ini, ia masih berbaloi untuk memasang wheel locks kerana ia dapat melindungi daripada kerugian ratusan hingga ribuan ringgit apabila tayar kereta dicuri," ujar Benjamin.

Wheel locks boleh didapatkan dari kedai hardware atau kedai aksesori kereta berhampiran anda. - Capital One

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain