suria

Kenapa baru tahu ‘trick’ ni, makin senang kerja di dapur! Tak sangka pula tauhu boleh simpan lama, tak masam

Memasak adalah satu seni yang boleh diasah kemahirannya. -Gambar hiasan

TUKANG masak di restoran atau hotel pastinya berpengalaman dalam sektor makanan dan minuman (F&B).

Ilmu yang dimiliki mereka sudah tentunya mahu dipelajari orang ramai kerana kebolehan untuk menyediakan makanan yang lazat secara konsisten.

Namun, jangan mudah berasa hampa jika masakan hasil air tangan anda tidak seperti yang diharapkan, kerana panduan ini bakal mengubah cara anda 'beraksi' di dapur.

Santapan di restoran pastinya meliurkan. -Gambar hiasan

Melalui satu perkongsian di Facebook, pemilik restoran 'Ayue Kitchen' mendedahkan beberapa tip untuk memastikan sajian makanan anda lebih menjadi.

Ayuh kita lihat satu-persatu:

1. Ikan goreng

Jika mahu elakkan ikan daripada melekat pada kuali ketika digoreng, mula-mula panaskan minyak masak yang di dalamnya sudah diletakkan dua atau tiga keping asam keping

Kemudian baru masukkan ikan yang hendak digoreng, hasilnya ikan akan kelihatan lebih cantik dan minyak juga tidak akan terpercik ke sana sini macam ada letusan gunung berapi.

2. Sambal merah

Jika mahukan sambal merah anda lebih sedap dan nampak cantik warnanya, masukkan lada lama dan gunakan gula merah.

3. Rendang

Jika inginkan rendang anda tahan lama dan tidak cepat basi, gantikan penggunaan bawang besar dengan bawang kecil.

4. Garam

Suatu makanan itu akan rosak sepenuhnya jika terlebih garam.

Oleh itu, kalau anda mahu selamatkan suatu masakan yang terlebih rasa masin, masukkan kentang ke dalamnya.

Biarkan sampai kentang itu masak, rasa masin dalam juadah akan berkurangan.

Tomota yang segar akan menjadikan masakan lebih enak. -Gambar hiasan Freepik

5. Tomato

Tip untuk mengekalkan kesegaran tomato supaya tidak cepat merosak atau menjadi lembik, simpan di dalam bekas bertutup tanpa perlu dibasuh tomato itu.

Hanya basuh tomato itu apabila sudah tiba masanya untuk dimasak.

6. Daging

Jika mahu daging cepat empuk, masukkan sekali sudu besi ke dalam rebusan.

7. Timun

Petua merangupkan timun supaya lebih enak dimakan, pertama, potong timun itu dan masukkan ke dalam rendaman air sirih.

Kemudian bilas, timun itu akan kekal rangup walaupun selepas berjam-jam disimpan.

8. Nasi

Satu kaedah untuk mengelakkan nasi daripada cepat basi, pertama, cuci beras itu sehingga bersih sebersihnya.

Seterusnya apabila hendak ditanak beras itu, masukkan garam sebanyak dua hingga tiga cubit, nasi akan lebih tahan lama.

Satu lagi, kalau nasi yang ditanak terlalu mentah, renjiskan air garam pada nasi itu. Selepas itu, balik-balikkan nasi tersebut dan tutup di dalam periuk sampai berwap.

Taugeh adalah antara sayuran yang cepat rosak. -Gambar hiasan Freepik

9. Taugeh

Kalau mahu taugeh segar untuk masa yang lama, rendam dalam air garam dan kemudian simpan di dalam peti sejuk.

10. Kupas kulit telur

Kalau terasa sukar hendak mengupas kulit telur selepas direbus, boleh guna cara ini.

Selepas telur selesai direbus, masukkan telur ke dalam ais batu, biarkan ia seketika untuk disejukkan.

Kini telur itu boleh dikupas dengan sangat mudah.

11. Ayam goreng

Mahu ayam goreng lebih rangup?

Perah sebiji asam limau nipis ke dalam minyak masak sebelum mula menggoreng ayam. Lihat hasilnya selepas itu!

Sebagai peringatan, limau nipis apabila bersentuhan dengan minyak masak akan menyebabkan minyak itu meletup sedikit, jadi berhati-hati.

Ayam goreng adalah antara makanan kegemaran rakyat Malaysia. -Gambar hiasan Freepik

Kalau nak sedapkan lagi ayam goreng, tumbuk lumat dua atau tiga ulas bawang putih untuk setengah ekor ayam.

Kemudian lumurkan ayam itu bersama bawang putih tersebut, garam dan kunyit. Selepas itu, goreng ayam sehingga kelihatan garing.

12. Nasi lemak

Tip untuk memudahkan nasi lemak cepat masak, masukkan sebatang garfu atau sudu besi ke dalam periuk nasi.

Biarkan sudu atau garfu itu di dalam beras sehingga nasi itu selesai masak.

13. Tauhu

Siapa sangka tauhu boleh tahan lama sehingga berhari-hari dengan menggunakan tip ini.

Mula-mula rendam tauhu itu dalam air panas. Kemudian, sejukkan tauhu itu. Selepas itu, boleh disimpan di dalam peti sejuk.

Sup secukup rasa memerlukan sukatan ramuan yang tepat. -Gambar hiasan Freepik

14. Sup

Ada kalanya, sup masakan kita terlebih air sehingga menyebabkan ia menjadi cair.

Jadi, jika mahu memekatkan sup itu kembali, boleh masukkan sedikit kentang rebus yang sudah dilenyekkan. Saksikan keberkesanannya.

15. Bawang

Nak elakkan pedih mata ketika mengupas bawang merah?

Boleh cuba rendam bawang di dalam air garam selama lima hingga 10 minit. Kini anda boleh sambung untuk mengupas bawang merah tanpa perlu berlinangan air mata.

16. Pengisar

Jika anda merasakan mata bilah di dalam pengisar (blender) anda sudah tumpul, boleh cuba cara ini untuk menajamkannya semula, tidak perlu beli baharu.

Kisarkan garam biasa di dalam pengisar selama beberapa minit. Buat setiap bulan, lihat hasilnya. - Ayue Kitchen

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain