suria

Guna tepung gandum cuci minyak masak tumpah, pasti lantai bersih dah tak rasa melekit

Tumpahan minyak masak boleh dibersihkan dengan menggunakan tepung gandum.

MEMASAK di dapur pastinya menyeronokkan, tetapi proses untuk mengemas dan membersih selepas itu boleh menjadi sedikit melelahkan.

Terutamanya apabila ada makanan tertentu atau bahan masakan seperti minyak masak tertumpah atas lantai, sangat rumit untuk menyentalnya sehingga bersih seperti sediakala.

Namun, jangan risau, melalui perkongsian di TikTok, seorang lelaki dikenali sebagai Awang Dapur mempunyai satu tip yang dikatakan mujarab untuk membersihkan tumpahan minyak masak.

Ayuh kita lihat!

Mencuci tumpahan minyak masak menggunakan tisu akan meninggalkan kesan melekit.

Tepung gandum

Kaedah yang biasanya digunakan orang ramai untuk membersihkan tumpahan minyak masak di lantai adalah dengan mencucinya menggunakan tisu atau mop.

Walaupun tisu atau mop berupaya untuk menyerap minyak, tetapi lantai akan tetap terasa melekit dan berminyak selepas itu.

Menurut Awang Dapur, tepung gandum boleh menjadi alternatif yang efektif untuk menghapuskan kesan minyak masak degil di lantai dan caranya cukup mudah.

Teknik membersihkan tumpahan minyak masak menggunakan tepung gandum.

Pertama, taburkan tepung gandum ke atas minyak yang tumpah dan uli tepung bersama minyak sehingga menjadi sebatian yang berketul-ketul.

Sebatian berketul-ketul itu menandakan tepung gandum sudah menyerap minyak, teruskan proses ini sehingga semua minyak habis diserap.

Kemudian ambil penyapu dan sapu ketulan tepung itu dan sisanya ke dalam penyodok, selesai!

Kini lantai akan menjadi licin, bersih seperti biasa tanpa ada lagi rasa kesan berminyak.

Sapu ketulan tepung yang sudah bercampur dengan minyak masak menggunakan penyapu.

Bagaimanapun, dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, Dapur Awang juga mengesyorkan tumpahan minyak dibersihkan menggunakan air sabun atau 'kitchen wipes'.

Menggunakan tepung gandum semata-mata untuk membersihkan tumpahan minyak boleh dilihat sebagai satu pembaziran walaupun terbukti keberkesanannya.

Boleh dipertimbangkan sebagai pilihan terakhir atau jika anda mempunyai tepung gandum yang sudah hampir tarikh luputnya. - Awang Dapur

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain