suria

Kalau mahu kereta ‘sedap’ dipandu, tahan sampai 10 tahun jangan abai 8 komponen ini

Kereta harus diselenggara dengan baik untuk tahan lama dan prestasi maksimum . -Gambar hiasan (kanan)

KERETA merupakan satu keperluan pada masa kini untuk memudahkan urusan harian..

Ia bukanlah barangan 'pakai buang' dan akan berada bersama pemilik sehingga bertahun-tahun lamanya.

Oleh itu, wajar untuk kereta diselenggara dan digunakan secara berhemah agar hayatnya panjang.

Kereta yang 'uzur' pasti akan membawa banyak kesulitan. -Gambar hiasan

Melalui satu perkongsian di TikTok, seorang lelaki, Din Acura menjelaskan beberapa tip untuk menyelenggara kereta agar masih selesa untuk dipandu walaupun selepas 10 tahun.

Ayuh kita lihat satu-persatu.

1. Minyak hitam

Minyak hitam kereta harus ditukar selepas kenderaan dipandu untuk jarak yang tertentu.

Jarak yang disyorkan adalah setiap 5,000 kilometer (km), 7,500km dan 10,000km bergantung pada jenis minyak.

Penapis minyak kereta.

2. Penapis minyak

Penapis minyak berfungsi untuk menapis segala kotoran, benda asing, minyak teroksidasi dan zarah logam yang mungkin muncul di dalam minyak enjin.

Penapis minyak kereta boleh ditukar apabila jarak (mileage) kereta anda sudah mencecah 40,000km.

3. Minyak gearbox

Minyak gearbox iaitu minyak Continously Variable Transmission (CVT) atau minyak Automatic Transmission Fluid (ATF) juga harus ditukar.

Ia disarankan untuk ditukar setiap kali kereta anda mencecah jarak 20,000km dan 40,000km.

4. Brek kereta

Komponen brek kereta seperti 'brake fluid' dan 'brake pad' juga harus diselenggara apabila sudah tiba masanya.

Ia disyorkan untuk diservis setiap kali kereta anda mencecah jarak tempuh 50,000km dan 60,000km.

Badan pendikit kereta.

5. Badan pendikit (throttle body)

Badan pendikit berfungsi untuk mengawal input kuantiti udara ke dalam ruang pembakaran enjin melalui saluran ambilan udara.

Disarankan untuk menukar badan pendikit kereta setiap kali jarak tempuh kereta mencecah 40,000km.

Penyelenggaraan badan pendikit kereta akan menjamin kualiti pemanduan yang lebih mantap dan selesa.

6. Palam pencucuh (spark plug)

Palam pencucuh merupakan peralatan elektrik yang berfungsi membakar campuran udara dan bahan api melalui bunga api elektrik.

Disarankan untuk menukar palam pencucuh setiap kali jarak tempuh kereta mencecah 20,000km dan 40,000km, bergantung pada jenis palam pencucuh.

Tali sawat pemasaan kereta.

7. Tali sawat pemasaan (Timing belt)

Tali sawat pemasaan bertujuan untuk menggerakkan komponen-komponen lain dalam enjin seperti camshaft dan crankshaft.

Disyorkan untuk menyelenggara tali sawat pemasaan setiap kali jarak tempuh kereta mencecah 80,000km dan 100,000km.

Tali sawat pemasaan perlu diberikan perhatian kerana jika ia putus, kos yang besar diperlukan untuk membaik pulihnya.

8. Pam air (water pump)

Pam air merupakan satu komponen penting dalam sistem penyejukan kenderaan anda, ia mengeluarkan air coolant daripada radiator dan mengepamnya melalui enjin.

Disarankan menukar pam air kereta apabila hendak menukar tali sawat pemasaan untuk kali kedua, iaitu pada jarak tempuh 100,000km.

Bersama pam air, disarankan juga untuk anda menukar air coolant kereta. - Din Acura

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain