suria

Perlu ke panas enjin kereta waktu pagi? Penjelasan pakar ini akan buat anda lebih faham, ubah tabiat pemanduan

Kereta perlu digunakan dengan cermat untuk mengelakkan kerosakan. -Gambar hiasan (kanan)

SERING kita dengar tip yang menyatakan enjin kereta perlu 'dipanaskan' terlebih dahulu pada awal pagi jika anda hendak menjaga hayatnya.

Memanaskan enjin bermaksud anda membiarkan kereta dalam keadaan statik selama lima hingga 10 minit tanpa memasuki gear D (drive) atau R (reverse).

Namun begitu, ada juga yang mendakwa tip tersebut hanya tertakluk untuk kereta yang usianya sudah lama, manakala kenderaan model baharu dikatakan lebih tahan lasak.

Jadi, tip yang mana satukah anda harus ikuti?

Melalui satu perkongsian di TikTok oleh Pakar Gearbox JV Auto Lube HQ, ada didedahkan penjelasan yang sebenarnya,

Gear kereta penting untuk pemanduan kenderaan. -Gambar hiasan

Gearbox dan sistem enjin

Menurut penasihat penjagaan kereta itu, jika anda terus memandu kereta pada awal pagi tanpa memanaskan enjin dahulu, ia tidak akan memberi kesan kepada sistem enjin, tetapi kepada gearbox.

Gearbox adalah komponen yang menggerakkan pemindahan tenaga dari satu bahagian mesin ke bahagian mesin yang lain di dalam enjin kereta.

"Sistem enjin tak akan ada isu pun kalau kita tak panaskan enjin, tapi akan ada kerosakan pada gearbox.

"Sebab gearbox pada waktu pagi, tekanannya tinggi apabila Revolutions Per Minute (RPM) tengah naik, RPM merupakan ukuran untuk kepantasan putaran mesin dalam enjin kereta anda.

"Jadi apabila tekanan tengah tinggi ni, kita pula terus masuk gear D tanpa tunggu tekanan susut dulu. Benda ni akan memberikan kesan jangka masa panjang kepada gearbox anda.

"Boleh belaku kerosakan dalaman apabila gearbox dipaksa untuk terus bekerja ketika ia baru nak mula 'bangun'," katanya.

Bahagian dalam enjin kereta yang sangat kompleks. -Gambar hiasan

Tanda-tanda kerosakan gearbox

Tambah penasihat penjagaan kereta itu lagi, petunjuk awal kerosakan gearbox adalah pertukaran gear yang tidak lancar.

"Itu yang kadang masuk gear D kereta 'termenung' tak jalan, lepas tu setiap kali tukar gear kereta rasa tak smooth.

"Itu petanda dalaman gearbox kita dah mengalami masalah.

"Salah satu puncanya ialah tabiat kita masuk gear D pada waktu pagi dengan keadaan enjin kereta masih belum bersedia," jelasnya.- Pakar Gearbox JV Auto Lube HQ

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain