suria

Jangan buang kuali hitam berjelaga dan berkarat... Ini cara nak bersihkan, terus berkilat macam baharu!

Kuali berjelaga dan berkarat boleh dibersihkan dengan menggunakan cara tertentu. -Gambar hiasan

PERKAKAS memasak seperti kuali jika digunakan dengan kerap pasti akan mula kelihatan berjelaga atau berkarat.

Jelaga kehitaman ini boleh menyebabkan proses memasak menjadi kurang efisien, misalnya masakan mudah melekat pada permukaan kuali dan sangat degil untuk ditanggalkan.

Kini anda tidak perlu risau, melalui satu perkongsian di TikTok oleh Mr.Bagus Tips Kehidupan, ada dikongsikan cara untuk membersihkan jelaga pada kuali agar kelihatan berkilat seperti baharu.

Ayuh kita lihat bagaimana caranya.

Bahan-bahan diperlukan:

1) Soda bikarbonat

2) Cuka

3) Garam halus

4) Lidi penyapu

5) Lemak haiwan seperti kulit ayam

6) Telur ayam

Langkah-langkah membersihkan kuali

Proses membuang karat pada kuali.

1) Buang karat

Masukkan soda bikarbonat dan cuka ke dalam kuali, gosok dengan kuat untuk menghilangkan karat pada permukaan dalam dan luar kuali.

Disarankan untuk menggunakan sarung tangan getah bagi mengelakkan tangan anda tercedera kerana disagat.

Kemudian bilas kuali dengan air dan keringkannya menggunakan kain sebelum ke langkah seterusnya.

Proses 'membakar' kuali.

2) Bakar kuali

Buka api dapur ke tahap yang paling besar. Kenakan api pada setiap permukaan kuali sehingga warna permukaannya kelihatan kebiruan.

Selepas haba api selesai diratakan ke setiap permukaan kuali, masukkan garam halus ke dalam kuali. Biarkan api dapur terus dibuka, jangan tutup.

Ambil lidi penyapu yang sudah dipotong pendek dan gunakannya untuk menggosok keluar karat halus yang masih ada pada permukaan kuali.

Proses membuang karat halus yang tertinggal.

Teruskan proses ini sehingga garam halus itu kelihatan berwarna coklat. Garam ini tidak boleh digunakan semula dan harus dibuang kerana ia sudah bertoksik.

Api dapur boleh ditutup sebentar. Biarkan kuali kembali sejuk sebelum membilas dan mencucinya dengan air. Kemudian keringkan kuali.

Proses menyalut kuali dengan lemak haiwan.

3) Lemak haiwan

Buka semula api dapur ke tahap maksimum, ambil lemak haiwan seperti kulit ayam dan sapu menyeluruh ke permukaan dalam kuali.

Biarkan kuali menjadi berasap akibat lemak dari kulit ayam tersebut.

4) Goreng telur

Ambil sebiji telur ayam dan cuba goreng di dalam kuali tadi. Anda akan dapat melihat masakan tidak lagi melekat pada permukaan kuali tersebut.

Kemudian ambil minyak masak dan sapu menyeluruh pada setiap permukaan kuali. Seterusnya simpan kuali tersebut agar ia dapat 'diperam'.

Apabila anda menggunakan kuali itu di kemudian hari, ia seolah seperti baharu. Selamat mencuba! - Mr.Bagus Tips Kehidupan

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain