suria

Ikut 6 saranan ini kalau mahu mesin basuh tahan lama! Tip nombor 2 ‘confirm’ tak ramai orang buat

Ikuti had muatan yang disyorkan adalah salah satu tip agar mesin basuh tahan lama. -Gambar hiasan

SALAH satu peralatan elektrik yang wajib ada di dalam rumah adalah mesin basuh.

Boleh dikatakan hampir setiap rumah mempunyai mesin basuh, sama ada yang automatik mahupun separa automatik.

Bagaimanapun, ada dalam kalangan kita kurang arif tentang cara mengendalikan peralatan ini sehinggakan ia cepat rosak meskipun baru dibeli.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda ajar cara cuci mesin basuh, guna 2 bahan je! Setiap kali buat, mesti keluar air berkeladak

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas guna biarkan pintunya terbuka jika mahu mesin basuh tahan lama

Boleh stres jadinya jika mesin basuh 'buat hal' dan lebih ralat lagi jika harganya mahal.

Justeru adalah lebih baik untuk kita mengambil tahu mengenai penjagaan mesin basuh agar jangka hayatnya tahan lebih lama.

Seorang pengguna Facebook, Ridzuan Al-Fattani yang mempunyai pengalaman dalam bidang penyelenggaraan, mekanikal dan elektrikal berkongsi tip penjagaan mesin basuh untuk panduan bersama.

mesin basuh 1

Elakkan menyumbat pakaian yang banyak dalam satu-satu masa. -Gambar hiasan

Berikut adalah tip yang dikongsikan beliau:

1) Jangan bebankan mesin dengan terlalu banyak pakaian setiap kali membasuh. Ikut rekomendasi syarikat pengeluar mesin.

2) Sesekali matikan suis soket selepas menggunakan mesin basuh. Ini kerana sekiranya terlalu lama di dalam keadaan standby, computer board akan menjadi semakin panas. Seeloknya, selepas keluarkan baju yang siap dibasuh, matikan suis pada soket.

3) Dalam sebulan sekali, masukan air panas ke dalam tub mesin. On mesin dalam mode basuhan minima bagi mencuci tub dan saluran buang air. Langkah ini untuk mengelakkan masalah tersumbat yang boleh merosakkan injap buang.

4) Jika putaran mesin semakin lemah daripada sebelumnya, bermakna belting telah longgar. Boleh cuba baiki dengan menggunakan spanar untuk tegangkan belting di bahagian bawah mesin. Namun, jika tidak, boleh upah tukang sahaja dengan kos sekitar RM20.

5) Jika air masuk semakin perlahan ke dalam tub mesin, buka bahagian paip air masuk, berkemungkinan ada penapis (filter) yang tersumbat.

6) Jika air masuk tiada masalah tetapi tidak boleh mengalir keluar, bermakna injap buang air 'stuck'. Ia berkemungkinan kerana objek tersangkut seperti duit syiling atau sebagainya.

mesin basuh 2

Matikan suis selepas selesai mencuci pakaian. -Gambar hiasan

Menurut Ridzuan, sekiranya tanda-tanda tersebut dibiarkan berlarutan tanpa dibaiki, ia boleh merosakkan computer board.

Tak mustahil melayang duit kerana terpaksa dihabiskan untuk kos baik pulih ataupun akhirnya terpaksa beli mesin basuh yang baharu.

Pendek kata, tak rugi kalau kita beringat lebih awal.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain