suria

Hati-hati kalau nak pasang wallpaper! Lelaki kongsi pengalaman, dinding buruk selepas beberapa tahun

Keadaan wallpaper yang mula menimbulkan masalah selepas beberapa tahun.

SALAH satu perkara yang menyeronokkan apabila berpindah masuk ke rumah baharu adalah melakukan dekorasi untuk hiasan dalaman kediaman.

Ketika inilah pelbagai idea yang muncul di fikiran bermula daripada tema, pemilihan perabot, warna cat dinding dan sebagainya.

Salah satu hiasan yang popular dan sering menjadi pilihan ramai adalah penggunaan kertas dinding.

Tidak dinafikan penggunaan kertas dinding atau wallpaper mampu memberi impak kepada sesebuah ruangan agar kelihatan lebih berseri dan menarik.

Bagaimanapun, dekorasi ini rupanya mempunyai kelemahan untuk jangka masa yang lama.

Seorang lelaki menceritakan kisah di mana wallpaper yang dipasang di kediamannya mula menunjukkan pelbagai masalah selepas beberapa tahun.

"Rumah saya hampir semua dinding dipasang wallpaper, termasuk di bilik bibik dan bilik seterika baju.

"Masa tu (tahun 2016) Korean wallpaper tengah popular dan ada promotion, harga sangat murah, jadi kami decided untuk pasang wallpaper di rumah kami yang baru siap.

"Tak dinafikan wallpaper sangat cantik berbanding cat. Namun setelah beberapa tahun, sesetengah wallpaper rumah kami mula bermasalah," kongsinya.

wp 3

Wallpaper terkopek di kawasan bucu.

Menurut lelaki tersebut, perkongsian yang dibuatnya bertujuan untuk berkongsi pengalaman agar sesiapa yang mahu memasang wallpaper di kediaman masing-masing supaya mempertimbangkan beberapa perkara terlebih dahulu.

Berikut adalah perkongsian beliau:

1) Dinding yang bersebelahan bilik air, sebahagian wallpaper jadi berkulat atau mengelupas. Padahal, kebanyakan dinding terlibat tak ada sebarang leaking. Wallpaper sensitif dengan kelembapan terutama pendedahan dalam tempoh yang lama. Mungkin juga berpunca daripada kesilapan kontraktor rumah yang tidak menyapu waterproofing pada dinding dalam bilik-bilik air.

2) Di kawasan pendingin hawa yang terdapat kebocoran, wallpaper di sekitar aircond jadi berkulat.

3) Di tingkap yang kadangkala air hujan berjaya masuk sedikit (biasanya kerana hujan yang teramat lebat dengan tiupan angin kencang), wallpaper di situ juga ada water stain dan mengelupas.

4) Tahi cicak juga adalah musuh utama wallpaper. Tahi cicak akan meresap dan meningkatkan kesan permanent yang menyakitkan mata dan hati. Ia tidak hilang sepenuhnya walaupun dilap. Terlebih tonyoh, wallpaper mula menipis dan koyak.

5) Penyambungan antara kepingan wallpaper muncul gap yang halus. Bukan kerana kurang gam tapi wallpaper itu sendiri mengalami sedikit pengecutan.

wp 2

Jarak kecil yang terhasil antara dua kepingan wallpaper.

6) Wallpaper di bucu laluan yang aktif, terkoyak atau tertanggal kerana tergesel dengan objek atau orang yang lalu lalang selain berdaki kerana kerap disentuh orang.

7) Sesetengah wallpaper mula menunjukkan perubahan warna dan muncul stain yang comot. Mungkin kesan cuaca dan serangga setelah suatu tempoh yg panjang.

Disebabkan masalah tersebut, lelaki itu berkata dia mengambil keputusan untuk menanggalkan wallpaper dan mahu mengecat semula dinding.

Bagaimanapun, muncul pula masalah lain sehingga menyukarkan kerja-kerja mengecat.

wp 4

Lelaki tersebut mengambil keputusan untuk menanggalkan wallpaper.

"Bukan mudah juga nak tanggalkan wallpaper dan hilangkan gamnya. Saki baki gam wallpaper menyebabkan kerja mengecat menjadi lebih sukar dan lambat.

"Cat lambat kering dan berbelak-belak. Lapisan cat ketiga, barulah catnya rata.

"Jadi sesiapa yang merancang untuk memasang wallpaper boleh menjangka apa masalah atau kelemahan wallpaper selepas beberapa tahun.

"Bukan tak boleh pasang tapi cuba elakkan punca-punca masalah yang saya nyatakan.

"Pilih wallpaper yang berkualiti dan tahan lama sebab ada macam-macam gred. Pemasangan pastikan dibuat dengan betul dan berkualiti. Elakkan dipasang di kawasan-kawasan yang mudah berlaku kerosakan wallpaper," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain