suria

Guna aplikasi ini untuk kesan kamera tersembunyi, ketahui apa perlu dibuat jika terjumpa peranti ini di hotel

Kamera tersembunyi yang ditemui di dalam penginapan Airbnb oleh sepasang pelancong dari China.

KES membabitkan penemuan kamera tersembunyi di tempat penginapan semakin menjadi-jadi.

Ada kes kamera disorokkan di dalam jam dinding, tombol pintu malah di ruang atau kawasan yang langsung tidak dijangka.

Dalam satu kes terbaharu yang berlaku awal bulan ini, ia membabitkan sepasang pelancong dari China yang menempah bilik di Sabah menerusi perkhidmatan Airbnb.

Pasangan tersebut yang membuat pemeriksaan sejurus tiba di penginapan mereka, terkejut apabila terjumpa kamera tersembunyi yang dipasang di dalam panel soket berhadapan dengan katil.

Kes tersebut mendapat perhatian Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) yang mengarahkan siasatan dijalankan selepas aduan mengenainya dibuat kepada pihak polis serta ditularkan di media sosial.

Insiden sebegini ternyata menimbulkan kerisauan orang ramai mengenai isu privasi dan keselamatan jika ia tidak diambil perhatian serius pihak berwajib.

ARTIKEL BERKAITAN: Semakin menjadi-jadi kes kamera tersembunyi, 4 langkah ini boleh bantu anda!

Dalam sesetengah kes seperti ini, mangsa mungkin sedikit bernasib baik kerana berjaya mengesan kamera tersembunyi dari awal.

Bayangkan jika penginap langsung tidak curiga atau tidak membuat pemeriksaan, sudah pastilah ruang privasi mereka telah dicerobohi tanpa disedari.

Justeru, solusi terbaik bagi isu ini adalah setiap daripada kita mengambil langkah lebih berhati-hati terutama apabila menginap di mana-mana tempat penginapan.

cam 2

Kamera dipasang di dalam soket.

Salah satu caranya adalah dengan memuat turun (download) aplikasi Hidden Camera Detector, sebagaimana yang dicadangkan oleh seorang pelayar Twitter @Dean of Deen.

Menurut individu tersebut, aplikasi berkenaan yang boleh dimuat turun secara percuma, mampu berfungsi seperti alatan pengesan (device) yang banyak dijual di platform e-dagang dalam talian ketika ini.

Selepas memuat naik aplikasi tersebut, langkah pertama yang perlu dilakukan ketika masuk ke tempat penginapan adalah:

1) Tutup semua lampu dan langsir supaya keseluruhan ruang gelap.

2) Buka aplikasi dan cuba cari di setiap sudut, setiap alatan, setiap perkara di dalam bilik untuk mengesan sebarang cahaya. Selain fungsi Infra Red, guna juga fungsi Detect Wired Camera untuk periksa.

3) Jika terjumpa, langkah pertama adalah rakam semua bukti yang dijumpai dan hubungi pihak berkuasa, bukan pihak hotel.

4) Tunjukkan bukti apabila pihak berkuasa datang.

5) Buat laporan polis.

Jangan ambil ringan perkara ini. Bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain