suria

Syukur sangat dah jumpa cara betul nak goreng ikan... Lepas ini tiada lagi isu melekat di kuali!

Teknik menggoreng yang betul juga mempengaruhi rasa ikan berkenaan. -gambar FB Fatimah Salim

PADANAN nasi putih dengan ikan goreng, dimakan panas-panas sememangnya kombinasi yang sangat padu!

Cukup sekadar digaul dengan garam dan kunyit, ikan goreng adalah hidangan yang cukup simple lebih-lebih lagi jika nak cepat.

Kalau ada ulam, budu atau sambal belacan, silap haribulan bertambah-tambah nasi.

Mahu menghasilkan ikan goreng yang sedap, kenalah tahu teknik yang betul supaya gorengan jadi cantik, tidak melekat pada kuali dan 'juicy'.

Seorang pensyarah kimia, Fatimah Salim berkongsi tip gorengan ikan yang betul dan juga penerangannya daripada sudut sains.

"Ramai pasti tahu yang rasa ikan goreng dipengaruhi jenis ikan, kesegarannya mahupun bahan perapannya.

"Tahukah anda rasa ikan goreng juga disumbangkan cara memasak serta kawalan suhu semasa memasak?

"Masalah yang sering timbul ialah untuk mendapatkan hasil gorengan yang cantik, tidak melekat dan juicy. Mari kita selami sains di sebalik menggoreng ikan," kongsinya.

Menurut pensyarah ini, masalah umum yang biasa dihadapi adalah ikan cenderung untuk melekat pada kuali.

ikan 1

Salah satu faktor yang turut menyumbang kepada kesedapan ikan goreng adalah tahap kesegarannya. -Gambar hiasan

Ia terjadi kerana permukaan ikan basah yang bersentuhan dengan permukaan kuali yang panas.

ARTIKEL BERKAITAN: Asyik guna garam, kunyit saja... Cuba buat perapan ini, rupanya inilah rahsia ikan goreng lebih padu, garing

"Ikan yang bersentuhan dengan permukaan kuali lalu menyebabkan ikan terus mengering pada kuali dan menyebabkannya melekat. Keadaan ini akan menyukarkan proses menterbalikkan ikan dan sebahagian daripada isinya akan melekat pada kuali," kongsinya lagi.

Justeru, berikut adalah tip untuk mengelakkan ikan melekat pada kuali:

- Panaskan minyak secukupnya, agak-agak sehingga kelihatan sedikti berasap. Selepas itu barulah masukkan ikan.

- Disebabkan tidak larut bersama, pelanggaran antara molekul-molekul minyak dengan molekul-molekul air pada ikan akan menghasilkan bunyi gorengan yang kuat.

- Minyak yang cukup panas ini akan menyebabkan air pada permukaan ikan meruap dengan cepat dan menjadikannya kering dan rangup.

- Maka, permukaan ikan yang bersentuhan dengan kuali tidak akan melekat.

Tip untuk mendapatkan isi ikan yang juicy:

- Permukaan ikan yang rangup tadi akan menjadi selaput penghalang untuk air di dalam ikan daripada meruap seterusnya mengekalkan kelembapan (juiciness) dalam isi ikan.

- Ikan haruslah dimasak sekejap sahaja kerana struktur kimia ikatan protein isi ikan adalah longgar jika dibandingkan dengan daging ayam dan lembu. Maka ianya tidak memerlukan masa yang lama untuk dimasak.

- Memasak ikan terlalu lama akan menyebabkan lembapan dalam isi ikan meruap, seterusnya menjadikan isinya keras.

Semoga bermanfaat!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain