suria

Karnival Usahawan Desa lebih meriah! Beri inspirasi golongan muda ‘cipta’ peluang kerja sendiri

KUD @ Putrajaya 2023 berlangsung di Anjung Floria, Putrajaya dari 22 hingga 26 November.

KARNIVAL Usahawan Desa (KUD) @ Putrajaya 2023 akan melibatkan seramai 1,000 usahawan dari agensi-agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), sekali gus merancakkan lagi program yang berlangsung dari 22 hingga 26 November ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKDW, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata usahawan-usahawan luar bandar yang terlibat daripada pelbagai kategori seperti makanan dan minuman, fesyen, pakaian, kecantikan, kesihatan dan kraftangan serta produk pertanian.

Menurut beliau, antara fokus utama adalah memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa ramai usahawan dalam kalangan golongan muda sekarang berpotensi dan boleh menjana pendapatan daripada kemahiran yang dipelajari dari institut-institut disediakan.

Antara menu yang dijual di KUD @ Putrajaya 2023.

Pada masa sama, katanya, pendekatan itu mampu menarik perhatian lebih ramai anak muda untuk menyertai bidang dan memupuk semangat keusahawanan.

“Kami mahu tunjukkan kepada golongan belia yang hadir bahawa ramai usahawan yang berjaya menjalankan perniagaan sendiri seperti membuka kafe, kedai gunting rambut dan jualan air kopi hipster.

ARTIKEL BERKAITAN: Karnival Usahawan Desa kembali... Pengunjung boleh guna kod QR untuk pembayaran, mudah sangat!

“Pada masa ini kita bukan lagi berada di zaman yang kita mencari pekerjaan tetapi kita mencipta pekerjaan sendiri untuk menjana pendapatan. Sebenarnya memang banyak kisah kejayaan yang kita nak tunjukkan.

“Saya berharap ramai mengambil peluang ini untuk memberi sokongan dan melihat bahawa produk-produk yang dihasilkan bukan kaleng-kaleng (biasa-biasa),” katanya kepada mStar.

Che Murad memberitahu apabila usahawan tempatan berjaya memasarkan produk, masyarakat seharusnya lebih yakin bahawa jualan mereka juga setanding dengan jenama lain.

20231121115754_IMG_7350

Che Murad berkata, penganjuran KUD @ Putrajaya 2023 dapat menambat hati orang ramai terutama golongan muda.

Mengenai KUD @ Putrajaya, Che Murad berkata, pelbagai aktiviti menarik turut dijanjikan kepada golongan muda sepanjang karnival berlangsung, antaranya Pameran Motosikal dan Dron, servis membaiki basikal percuma dan Fun Run dan Fun Ride 15 kilometer.

Lebih menarik, orang ramai yang mahu menonjolkan bakat dalam acara e-sukan, berpeluang untuk menyertai pertandingan Persekutuan Bola Sepak Dunia (Fifa), PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG) dan Mobile Legend Bang Bang (MLBB) serta Soccer Drone.

Selain itu, terdapat juga pameran yang dapat menambat hati orang ramai khususnya golongan belia, seperti pameran Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) oleh institusi-institusi TVET di bawah KKDW seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), GiatMara, Kolej Polytech Mara (KPM) dan Institut Kemahiran Mara (IKM).

MPZ00075

Banyak produk jualan dan keluaran usahawan terutama dari golongan muda boleh didapati pada KUD @ Putrajaya 2023.

Ini termasuk penyertaan institusi-institusi TVET di bawah Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) seperti Perda Tech, Kolej Keda dan Kolej Ketengah.

“Kami kumpulkan semua usahawan makanan dari seluruh negara. Pengunjung yang sudah penat berjalan pastinya mahu menikmati makanan yang dijual di KUD @ Putrajaya.

“Kami usaha bawakan makanan signatur daripada tempat itu sendiri seperti Nasi Kandar Pulau Pinang, Hussain Pasembur King Padang Kota, Nasi Dagang Atas Tol dari Terengganu serta masakan belangkas dari Johor,” katanya lagi.

Pelbagai jenis makanan dari seluruh negara dijual sepanjang KUD @ Putrajaya 2023.

Turut dinanti-nantikan para pengunjung adalah persembahan istimewa daripada artis-artis terkenal seperti Datuk Ramli Sarip, Datuk Nash, Datuk Khadijah Ibrahim, Ella, Ziana Zain, Khai Bahar, Syamel dan Ernie serta kumpulan Floor 88.

Menurut Che Murad lagi, pameran agensi pada KUD @ Putrajaya kali ini juga mendapat sokongan penyertaan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agrobank serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Turut menyertai pameran ialah Halal Development Corporation (HDC), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (Pacu) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

KKDW juga bekerjasama dengan 10 agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Felcra Berhad serta Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

KUD @ Putrajaya 2023 melibatkan seramai 1,000 usahawan dari agensi-agensi di bawah KKDW.

Selain itu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) turut terlibat dalam karnival ini.

KUD @ Putrajaya 2023 juga dimeriahkan dengan penggunaan kupon penggalak jualan bernilai sehingga RM200,000 yang akan diberikan secara percuma buat para pengunjung.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir bagi merancakkan kemeriahan KUD @ Putrajaya 2023 di Anjung Floria, Putrajaya yang berlangsung 22 hingga 26 November ini.

Ia dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi sehingga 10 malam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube