suria

Boleh makan cendol dalam pesawat AirAsia! Santan bawa 11 produk lokal terbang tinggi

Kesemua produk jenama tempatan ini boleh dibeli sehingga Mac 2024.

DEMI memartabatkan jenama tempatan, Santan melancarkan inisiatif ‘The Next Big Thing’ bagi memperkenalkan barangan buatan Malaysia kepada penumpang penerbangan AirAsia dan Airasia X.

Sebagai jenama penyedia perkhidmatan dalam penerbangan, Santan membuka ruang untuk pelbagai jenis produk tempatan dijual sekali gus membolehkan tetamu syarikat penerbangan itu menyokong perusahaan nasional dalam penerbangan.

Menurut Pengurus Besar Santan, Catherine Goh, pihaknya komited menyediakan platform bertujuan mempamerkan kejayaan pelbagai jenis jenama tempatan.

Ia terutama ketika para pengguna mula berminat untuk menyokong dan memilih produk lokal.

"Kami teruja untuk memperkenalkan rangkaian ‘wira tempatan’ yang dipilih dengan teliti.

“Setiap edisi majalah dalam penerbangan kami akan memperkenalkan perniagaan tempatan yang unik, menjanjikan satu pengalaman perjalanan yang indah untuk para tetamu AirAsia," katanya.

Jenama tempatan yang dipromosikan untuk edisi kali ini adalah seperti berikut.

2

AirAsia menawarkan pengalaman beli-belah kepada tetamunya. -Gambar hiasan The Star

Jovian

Kerjasama unik pereka terkenal Datuk Jovian Mandagie dengan AirAsia menawarkan ciptaan fesyen eksklusif yang dijual dalam penerbangan, termasuk Hijab bergaya, beg beli-belah pelbagai fungsi dan wangian mewah.

Petit Moi

Jenama yang menghasilkan produk pakaian kanak-kanak dan dewasa berkualiti tinggi, menawarkan kemewahan serta keselesaan untuk semua.

Gigi

Jenama penjagaan gigi yang menawarkan produk 100 peratus vegan, dirumus dengan kebaikan semula jadi untuk faedah pergigian yang optimum.

Chuck's

Jenama kecantikan Malaysia dengan rangkaian produk yang memenangi anugerah buatan Korea, berfungsi sebagai barang keperluan penjagaan kulit untuk penggemar kecantikan.

Jenama pakaian Petit Moi turut dipasarkan dalam pesawat AirAsia. -Gambar Petit Moi

Jenama pakaian Petit Moi turut dipasarkan dalam pesawat AirAsia. -Gambar Petit Moi

The StreetPaw

Sebuah perusahaan sosial yang membantu haiwan tiada tempat tinggal dengan menjual makanan haiwan. 20 peratus daripada keuntungan yang diperoleh disalurkan kepada agensi perlindungan haiwan.

Legendary Malaysia

Diinspirasikan oleh budaya dan warisan Malaysia, sebuah jenama wangian ikonik yang dicari di seluruh dunia.

JYNN's Malaysia

Jenama kesihatan dan kesejahteraan bertaraf antarabangsa yang memberi tumpuan kepada makanan suplemen untuk kesihatan dan kesejahteraan semua orang.

Owlet

Menawarkan rangkaian wangian premium yang boleh diakses oleh semua. Ia menampilkan bauan yang menceritakan kisah keperibadian dan gaya unggul.

Chendul Teochew Pulau Pinang turut dijual dalam pesawat AirAsia. -Gambar TasteAtlas

Chendul Teochew Pulau Pinang turut dijual dalam pesawat AirAsia. -Gambar TasteAtlas

ASK Fragrance

Wangian yang dihasilkan eksekutif kru kabin AirAsia yang telah lama berkhidmat dan sangat popular di laman tiktok, Armand. Diinspirasikan oleh pakaian seragam AirAsia yang ikonik, reka bentuk botol wangian ini bercirikan pakaian seragam kru kabin AirAsia.

Empro

Sebuah syarikat terkemuka dalam industri kesihatan dan kecantikan, berdedikasi untuk meningkatkan kesejahteraan serta keyakinan individu melalui rangkaian penjagaan kulit, kosmetik, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan sulaman.

Zus Coffee

Jenama yang mentakrifkan semula kopi dengan menawarkan rangkaian minuman kopi yang untuk semua.

Selain daripada barisan jenama tempatan ini, Santan juga memperkenalkan Chendul Teochew Pulau Pinang iaitu sajian pencuci mulut yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kerjasama dengan Penang Chendul, sebuah jenama terkenal di Jalan Penang sejak tahun 1936 ini sekali gus memberi penghormatan kepada reputasi dan tradisi mereka yang terkenal.

Para tetamu AirAsia kini dapat menikmati pencuci mulut istimewa ini dengan hanya RM10, di semua penerbangan AirAsia (AK).

Untuk makluman produk daripada jenama tempatan itu dijual di semua penerbangan AirAsia dan AirAsia X sehingga Mac 2024, sementara stok masih ada.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain