GOLONGAN wanita mahupun lelaki kebanyakannya mempunyai koleksi kasut pelbagai warna, rekaan dan bentuk yang perlu disesuaikan dengan urusan atau gaya hidup. Adakalanya, ada kasut yang dipakai sekali sahaja kerana dibeli mengikut tema bagi majlis tertentu. Menyimpan terlalu lama juga akan membuatkan kasut menjadi rosak berbanding yang sering digunakan. Anda yang bimbang kasut kesayangan menjadi rosak secara perlahan-lahan, bolehlah mengikut beberapa tip daripada Okezone ini. 1. Cuci sebelum disimpan Untuk penyimpanan jangka panjang, sebaiknya bersihkan kasut terlebih dahulu. Ia bagi mengelakkan kerosakan semasa menggunakannya nanti dan pada masa sama menghalang bakteria daripada terus membiak. 2. Pilih tempat penyimpanan sesuai Penting untuk memilih tempat penyimpanan yang sesuai. Elakkan menyimpan secara terus di dalam almari kasut kerana boleh berlaku kelembapan dan menghasilkan kulat. Anda boleh meletakkannya di dalam kotak terlebih dahulu. Paling penting, pastikan kasut anda kering sepenuhnya sebelum disimpan ya! 3. Gunakan silika gel Silika gel membantu menyerap lembap sekali gus mengelakkan kulat tumbuh dan membiak pada kasut anda terutama jenis kulit dan polyster. Selain itu, ia mampu menghilangkan serta mencegah bau busuk pada kasut yang disimpan lama. Caranya sangat mudah, letakan saja silika gel tersebut ke dalam kasut anda. 4. Elakkan terdedah secara langsung pada cahaya matahari Ramai yang meletakkan rak kasut di luar rumah. Sebaiknya ia diletakkan di lokasi yang sedikit tertutup supaya tidak terkena cahaya matahari secara langsung. Jika terdedah terlalu lama pada sinaran UV, kasut anda akan cepat kering dan hilang daya elastik seterusnya menjadi mudah rosak. 5. Asingkan kasut mengikut kegunaan Kasut yang jarang digunakan atau hanya untuk acara-acara khusus perlu diletakkan pada rak kasut berasingan. Selain menjadikannya lebih rapi, langkah ini juga dapat mencegah pemindahan bakteria dari kasut kotor. Walaubagaimanapun, anda disarankan untuk melihat kondisi kasut setiap bulan sekiranya ia jarang digunakan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube