DAPUR merupakan salah satu ruang penting dalam rumah yang sering menjadi perhatian para tetamu. Maka, tidak hairanlah ramai yang sanggup berhabis ribuan ringgit untuk memastikan ruangan itu kelihatan cantik dan kemas serta berada dalam keadaan selesa dan selamat. Pemasangan kabinet pastinya menjadi pilihan, namun kadang kala ia tidak menaikkan seri dapur jika ruangan tersebut tidak didekorasi dengan betul. Anda yang masih lagi mencari-cari idea dan konsep ruangan dapur, pastikan lima asas ini ditetapkan sebelum membaik pulih. Warna gelap lebih bersesuai untuk menaikkan seri ruangan dapur. -Gambar hiasan The Star 1. Jenis pintu dapur Sejak kebelakangan ini, ramai yang gemar memasang pintu dapur bagi menggantikan langsir. Malah pemilihan utama untuk ruangan tersebut adalah pintu jenis gelongsor atau sliding door. Jika anda mengimpikannya, pastikan rel pintu dipasang pada bahagian atas supaya pembersihan mudah dilakukan. Maklumlah, habuk dan sampah kecil mudah melekat di celah-celah rel berkenaan. Pada masa sama membuatkan bahagian tersebut tampak kemas dan bersih. Sinki tunggal lebih baik kerana kemas dan memudahkan. -Gambar hiasan The Star 2. Penggunaan material lantai Bagi menampakkan ruangan dapur kelihatan luas dan besar, kebanyakan pereka akan mengesyorkan penggunaan jubin. Selain hadir dengan pelbagai warna dan corak, permukaan jubin juga berbeza. Meskipun inginkan kelainan, anda dinasihatkan supaya menggunakan jubin yang sama untuk keseluruhan ruang supaya mudah dicuci. 3. Pemilihan sinki yang betul Penggunaan sinki yang mempunyai dua bahagian sentiasa menjadi pilihan para suri. Namun anda digalakkan menggunakan sinki tunggal yang bersaiz besar supaya lebih mudah dikendalilan dan tidak kelihatan semak. Pemilihan warna kabinet dapur perlulah sesuai dengan konsep yang diingini. -Gambar hiasan The Star 4. Kesesuaian kabinet dapur Kabinet dapur sememangnya membantu menutup segala ‘kelemahan’ ruang lain yang ada. Bagi anda yang ingin menambahnya pada ruangan, jangan lupa manfaatkan setiap sudut yang ada dengan memilih rekaan bersesuaian. Bukan sahaja kelihatan kemas, malah barangan pun mudah disusun dan diambil guna. 5. Dinding ruangan memasak menggunakan jubin Rekaan masa kini pasti mengutamakan kekemasan dan kecantikan. Disebabkan itu, ada yang menggunakan jubin bersaiz kecil pada bahagian dinding. Bagaimanapun, penggunaan jubin besar adalah digalakkan kerana lebih mudah dibersihkan dan tiada ‘celahan’ yang memerangkap kotoran. Apa kata anda tambah baik ruangan dapur dan jadikannya ruang istimewa untuk bersama keluarga. Maklumlah, beberapa hari saja lagi tahun baru 2024 akan menjelma. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube