PENGANJURAN Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) menjadi acara yang sentiasa dinanti segenap lapisan masyarakat. Melangkaui satu abad penganjurannya, MAHA 2024 melangkah ke era yang lebih berdaya saing, inovatif dan lebih kontemporari dengan memberikan penekanan kepada sektor keterjaminan makanan yang mampu menarik penyertaan golongan muda. Seiring dengan perkembangan teknologi masa kini seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI), Internet benda (IoT) dan kepelbagaian teknologi yang berupaya meningkatkan produktiviti, ini pastinya akan menarik golongan muda menceburkan diri dalam sektor pertanian. Bakal berlangsung bermula 11 September hingga 22 September depan, MAHA 2024 menampilkan pengisian yang lebih segar dan interaktif, merangkumi 48 segmen khusus dengan enam segmen terbaru iaitu: 1) Magical at Night and 3D Water Show; 2) Kids Attraction/ Kids Farm Garden; 3) Rythms of Farmers; 4) Sunflower & Orchid Garden; 5) Motorhome & Glamping; dan 6) Floating Market Menariknya pada edisi kali ini, dijangka lebih daripada 180 syarikat luar negara berkaitan teknologi pertanian serta makanan turut mengambil bahagian. Mohamad ketika berucap pada Majlis Peluncuran MAHA 2024 di MAEPS pada Isnin lalu. Ini secara tidak langsung bukan sahaja menjadi medan menjana serta pertukaran idea, malah membuka peluang potensi pelaburan kepada petani muda dalam sektor agro-makanan negara untuk mengorak langkah ke hadapan. Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu turut memberi jaminan bahawa penglibatan anak muda dalam bidang pertanian terus menjadi fokus kementeriannya, dan penganjuran MAHA menjadi platform terbaik buat golongan ini meraih manfaat serta mengembangkan potensi. "Kita juga mengharapkan bajet untuk anak-anak muda menceburkan diri dalam pertanian dipertingkatkan untuk tahun hadapan," ujarnya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran MAHA 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) pada Isnin. Mohamad (dua, kiri) menyempurnakan Majlis Peluncuran MAHA 2024. Dalam pada itu, inisiatif kerajaan menerusi penganjuran MAHA 2024 mengundang keterujaan seorang usahawan muda aneka kerepek, Nurul Fazliana Mohd Saleh. "Saya pernah menjadi salah seorang peserta MAHA untuk dua edisi sebelum ini. Sememangnya apabila mengetahui MAHA 2024 bakal disertai syarikat luar negara, saya sangat teruja. "Inilah tempat terbaik untuk kita belajar teknologi baharu dari luar negara. Dalam masa sama, boleh menarik pengunjung luar negara untuk kenali budaya Malaysia melalui pameran ini," ujarnya. Bagi Azlinawati Azhar, 29, dia dan keluarga sememangnya tidak pernah melepaskan peluang untuk mengunjungi MAHA yang dianjurkan setiap dua tahun sekali. "Saya suka pergi sebab ada banyak gerai, pelbagai produk yang berkualiti serta diiktiraf kerajaan. Ada banyak aktiviti untuk kanak-kanak, performance artis pun ada... paling best terdapat macam-macam makanan," ujarnya. Mohamad (tengah) bersama model yang memperagakan pakaian rasmi untuk MAHA 2024. Sementara itu seorang pekerja swasta, Hairina Ismail, 27, pula mengakui teruja untuk menghadiri MAHA 2024 apatah lagi ia merupakan pengalamannya buat kali pertama ke pameran pertanian berkenaan. "Tapi ada golongan muda kurang minat dengan bab-bab pertanian dan mereka tak tahu rupanya banyak pengisian menarik di MAHA. "Bagi saya, kerajaan perlu tingkatkan lagi promosi menggunakan media sosial atau influencer untuk mempromosikan event MAHA, di samping beri offer diskaun atau pakej yang menarik untuk tarik lebih ramai pengunjung,"akhirinya. Dengan tema 'Menuai Harapan Membina Masa Hadapan', MAHA 2024 yang bakal berlangsung pada 11 September hingga 22 September di Maeps, Serdang bakal disertai lebih 2,000 usahawan tempatan dan luar negara. Ia dijangka menarik kehadiran tiga juta pengunjung sepanjang penganjurannya memandangkan diadakan ketika cuti persekolahan. Jadi, jangan lepaskan peluang... Ayuh kita hadir beramai-ramai ke MAHA 2024! Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube