PENGGUNAAN kad kredit sememangnya mempunyai pelbagai kelebihan lebih-lebih lagi sekiranya berlaku kecemasan atau situasi melibatkan transaksi jual beli dalam amaun besar. Namun, kemudahan tersebut perlu disertakan dengan penggunaan yang bijak dan penuh berhemah. Jika tersilap percaturan atau gagal mengawal nafsu untuk berbelanja, silap hari bulan anda terbeban dengan hutang yang besar dan boleh diisytiharkan muflis. Begitu juga kisah yang dikongsikan seorang pemuda, yang mana dirinya terbeban hutang gara-gara penyalahgunaan enam kad kredit! ARTIKEL BERKAITAN: Ramai rasa selamat setiap bulan cuma bayar amaun minimum kad kredit, ‘banker’ tampil kongsi pengalaman ARTIKEL BERKAITAN: Jauhi kad kredit, pinjaman peribadi! Anak muda sila ikut 8 nasihat ini jika mahu elak masalah kewangan di kemudian hari "Percaya atau tak. Saya apply semua kad ni masa basic gaji saya cuma RM4,000 sebulan. Saya muda lagi. Lelaki bujang. Umur pun bawah 30 tahun. "Maybank RM12,000 limit; AMEX Charge Card, no limit; RHB Bank RM15,000 limit; Aeon RM10,000 limit; Standard Chartered Bank RM45,000 limit dan UOB Bank RM8,000 limit. "Sekarang pun gaji sama. Jangan tanya macam mana kad kredit semua ni boleh approved by bank dengan gaji cuma RM4,000. Ada cara tapi saya takkan kongsi," ceritanya dalam hantaran yang dibuat di laman Facebook Muflis Bankrupt di Malaysia. Pemuda ini berkata, kesemua perbelanjaan dibuat menggunakan kad kredit termasuklah membeli kereta. "Saya tak boleh hidup tanpa kad kredit. Kad A hutang bertambah, guna kad B buat Balance Transfer. Kad B hutang bertambah. Guna pulak kad C buat benda yang sama. Tutup lubang gali lubang. "Makin lama hutang saya jadi makin tinggi. Rasa macam dunia tak berpenghujung. Masa tu barulah fikir as manusia," ceritanya. Transaksi menggunakan kad kredit menjadi pilihan sesetengah individu kerana memudahkan. -Gambar hiasan Seperti kata pepatah, sudah terhantuk baru terngadah, pemuda ini akhirnya mengambil keputusan untuk menamatkan kesemua penggunaan kad kreditnya agar tidak terbeban lagi dengan hutang. "Hari ini saya call bank terus cakap nak cancel. Sampai saya sebak ya. Begitu kuat penangan kad kredit tu," kongsinya lagi. Pemuda tersebut berkata, dia memilih untuk menyelesaikan kesemua hutangnya menerusi kaedah 'Debt Consolidation'. Debt Consolidation atau penyatuan hutang merupakan satu proses di mana anda mengambil satu pinjaman baharu untuk membayar kesemua hutang yang ada. Perkongsian kisah pemuda berkenaan sewajarnya dijadikan pengajaran agar kita tidak terjerat dengan hutang pada usia yang muda. Berikut dikongsikan lima tip cara penggunaan kad kredit dengan betul sebagaimana perkongsian seorang perancang kewangan, Dr Adam Zubir: 1) Bayar jumlah yang digunakan secara penuh Anda dinasihatkan untuk tidak membayar jumlah minimum walaupun ia dibenarkan kerana baki hutang dibawa ke bil seterusnya dan akan dikenakan caj faedah yang boleh menyebabkan hutang semakin bertambah 2) Ukur baju di badan sendiri Kad kredit bukanlah instrumen untuk anda dapatkan duit secara segera. Sebagai pengguna kad kredit, anda perlu bertanggungjawab untuk memastikan diri mampu membayar semula jumlah yang digunakan. Salah satu 'peraturan' menggunakan kad kredit adalah pengguna perlu berdisiplin melakukan pembayaran. -Gambar hiasan 3) Hadkan bilangan kad kredit Walaupun layak memiliki lebih daripada satu kad kredit di bank yang berbeza, anda sepatutnya tidak berbuat demikian. Tindakan ini memberi galakan untuk anda berbelanja tanpa kawalan kerana ada 'alat' untuk beli dulu bayar kemudian. 4) Elak guna kesemua had yang ditetapkan Anda boleh berbelanja sehingga RM6,000, tapi persoalannya, mampukah anda membayar semula jumlah tersebut? Cara guna kad kredit yang betul, pastikan anda berdisiplin dengan hanya menggunakan kad kredit apabila perlu sahaja. 5) Sentiasa cek transaksi Simpan semua resit fizikal dan semak semula penyata di bank. Cara ini supaya anda boleh mengawal perbelanjaan melalui kad kredit agar tidak menghampiri bajet perbelanjaan yang sepatutnya. Semoga bermanfaat! Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube