BAYANGKAN, anda sudah berhempas-pulas dan bersengkang mata bekerja namun majikan tidak dapat membayar gaji. Antara alasan popular yang sering diberikan adalah syarikat mempunyai kekangan kewangan dan tidak mampu untuk membayar gaji untuk tempoh tertentu. Walau apa jua alasannya, perkara ini adalah sangat tidak adil buat seorang pekerja. ARTIKEL BERKAITAN: Elak ditindas majikan, ambil tahu hak anda sebagai pekerja... Lapor jika buat ‘overtime’ tapi tak bayar! Lebih teruk, dalam satu kes yang didedahkan oleh seorang pelayar di Facebook, majikannya bukan saja memaksanya untuk cuti dengan alasan tidak mampu membayar gaji, malah bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga tidak dibayar sejak awal tahun ini. Berat bahu memandang, berat lagi bahu yang memikul bebanan. Bagi mereka yang mungkin sedang berdepan dengan situasi sama, berikut merupakan enam langkah yang boleh diambil sebagaimana perkongsian seorang peguam, Rizlan Ghazali Chewan. 1. Laporan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) JTK boleh mengambil tindakan terhadap majikan yang melanggar Akta Kerja 1955. Anda boleh mengemukakan aduan di pejabat JTK terdekat atau secara dalam talian melalui laman web mereka. 2. Tuntutan gaji tertunggak Prosedur: JTK akan memanggil majikan anda untuk sesi perbincangan atau pendengaran mengenai gaji tertunggak. Jika majikan gagal memberi justifikasi yang memuaskan, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka. Dokumentasi: Pastikan anda mempunyai dokumen-dokumen yang relevan seperti slip gaji, kontrak pekerjaan, dan rekod komunikasi dengan majikan mengenai isu pembayaran gaji. Ada yang tidak menyedari mereka menjadi mangsa penindasan di tempat kerja. -Gambar hiasan 3. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Laporan KWSP: Anda boleh menghubungi KWSP dan membuat aduan mengenai majikan yang tidak membuat caruman. KWSP akan menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Proses: Anda boleh melaporkan perkara ini secara dalam talian atau pergi ke pejabat KWSP untuk mendapatkan bantuan lanjut. 4. Pertimbangkan tindakan perundangan Jika majikan masih tidak memberi kerjasama walaupun selepas laporan dibuat, anda boleh mempertimbangkan untuk mengambil tindakan perundangan dengan bantuan seorang peguam. Berjumpalah dengan peguam yang pakar dalam undang-undang buruh untuk mendapatkan nasihat mengenai tindakan perundangan yang boleh diambil. Ini mungkin melibatkan tuntutan di Mahkamah Buruh atau Mahkamah Perusahaan. 5. Mencari pekerjaan baharu Jika keadaan tidak menunjukkan sebarang perubahan positif dan majikan terus gagal membayar gaji anda, pertimbangkan untuk mencari pekerjaan baharu yang lebih stabil. 6. Rekodkan semua perbincangan Simpan semua surat-menyurat, e-mel dan mesej berkaitan isu gaji dan KWSP. Ini boleh menjadi bukti penting sekiranya kes anda dibawa ke JTK atau mahkamah. Tindakan segera perlu diambil untuk melindungi hak dan kepentingan anda sebagai pekerja. Jangan teragak-agak untuk mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa seperti JTK dan KWSP serta mendapatkan nasihat undang-undang jika perlu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube