suria

Baru tengok pelan lantai terus booking! Jangan melulu nak miliki rumah, kena ambil tahu saiz ideal sebelum beli

Terdapat pelbagai aspek yang perlu diambil kira sebelum membeli sesebuah rumah. -Gambar hiasan

BOLEH dikatakan pembelian rumah adalah pelaburan terbesar bagi kebanyakan individu.

Memandangkan hartanah ini adalah aset jangka masa panjang, jadi sudah pasti kita mahu membeli yang terbaik dan boleh mendatangkan manfaat.

Bayangkan, sudahlah melabur wang yang bukan sedikit jumlahnya tetapi berakhir dengan kekecewaan disebabkan kesilapan sendiri, sebagaimana kisah yang dikongsikan seorang pelayar Facebook, Fahimah Mahayuddin.

ARTIKEL BERKAITAN: Berbaloi ke beli rumah subsale? Ejen hartanah bentang 7 kelebihan, silap-silap dapat kediaman serba lengkap

"Bulan lepas, ada seorang pembeli ni cerita dekat saya yang dia tersilap beli rumah.

"Masa dia beli, rumah tu under construction, kira tak ada rumah contoh. Jadi just tengok layout semua nampak macam besar, luas... dia booking saja untuk beli.

"Tapi lepas rumah tu siap, dia terkejut sebab kecil saiznya. Parkir pun muat satu kereta saja.

"Apabila saya tanya berapa bukaan lebar rumah? Dia kata 18 kaki. Untuk saiz 18 kaki memang muat satu kereta saja parkir. Melainkan kereta kecil, mungkin boleh muat dua," ceritanya.

Jadi, untuk mengelakkan anda membuat 'kesilapan' yang sama, jom sama-sama tambah ilmu mengenai saiz keluasan rumah yang dijual di Malaysia sebagaimana perkongsian Fahimah.

Projek Villa 3 Sungai Buloh, Villa 6 Bangi & Perumahan Angkatan Tentera Satu Malaysia.

Pembeli disarankan mengambil tahu lebih lanjut mengenai keluasan setiap ruang sebelum membeli rumah. -Gambar hiasan

1) Apartment/ kondominium/ flat

* 400-500+ sqft (kecil)

- Saiz seperti ini biasanya unit studio atau soho. Biasanya ada satu bilik atau tiada bilik.

* 600-750+ sqft (kecil)

- Saiz ini dikira kecil. Ada yang cukup untuk dua bilik, ada yang tiga bilik.

* 800-900+ sqft (sederhana)

- Saiz ini dikira standard untuk kebanyakan rumah apartment. Saiz yang boleh dikatakan selesa. Tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil

* 900-1,000+ sqft (besar dan luas)

- Untuk saiz ini dikira besar bagi sebuah rumah apartment/ kondo/ flat. Layout rumah juga lebih luas. Sesetengahnya ada yang bersaiz 1500++ sqft yang mana kadang lebih luas daripada saiz binaan rumah teres.

2) Rumah teres

a) Saiz lebar rumah

* 16-18 kaki (kecil)

- Untuk parkir, kalau 16 kaki muat sebuah kereta sahaja. Untuk 18 kaki muat sebuah kereta juga tapi kalau kereta saiz kecil boleh muat dua buah. Bergantung pada pagar rumah.

* 20 kaki (sederhana)

- Saiz standard bagi kebanyakan rumah teres. Muat untuk parkir dua kereta dan dalam kategori lebar rumah yang menjadi pilihan ramai.

* 22 kaki ke atas (besar)

- Saiz yang boleh dikatakan selesa untuk kelebaran sesebuah rumah. Untuk size 24 kaki ke atas dikategorikan sebagai superlink.

b) Saiz panjang rumah

* 60 kaki ke bawah (pendek)

* 65-70 kaki (sederhana)

* 75 kaki ke atas (panjang)

Launch of Anggun Sales Gallery.

Pejabat jualan menjadi pilihan terbaik untuk seseorang pembeli mendapatkan maklumat lanjut mengenai kediaman yang dibangunkan pemaju. -Gambar hiasan

3) Rumah teres dua tingkat

* 1,500 sqft ke bawah (kecil)

- Biasanya sekarang ini pemaju banyak buat rumah bersaiz kecil dengan keluasan binaan bawah 1500 sqft. Kadang-kala pemaju beri tanah lebih di belakang untuk kita buat binaan tambahan sendiri.

* 1,550-1,750 sqft (sederhana)

- Dikira saiz standard untuk keluasan binaaan sebuah rumah. Saiz yang tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil.

* 1,800-2,000 sqft (besar)

- Dikira besar untuk keluasan binaan sesebuah rumah. Saiz ini biasanya sudah mencukupi, tak perlu buat binaan tambahan (extend).

Walau bagaimanapun, besar atau kecil saiz sesebuah rumah bergantung kepada penilaian dan cita rasa setiap individu.

Apa yang penting, ukurlah baju pada badan sendiri namun pastikan kita tahu serba sedikit mengenai keluasan rumah agar tidak silap dalam memilih. Semoga bermanfaat!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain