PENERAJU pembangunan hartanah dan pengurusan aset, UDA Holdings Berhad (UDA) mengumumkan pemenang cabutan bertuah sempena Kempen Hartanah UDA Ria 2023 di Blok Menara Kompleks Pertama, Kuala Lumpur pada Isnin. Dua individu bertuah iaitu Sarah Fathiyah Mubarak dan They Wee Jin membawa pulang hadiah utama berupa kereta Perodua Ativa setiap seorang. Manakala empat lagi pemenang menerima pakej percutian ke Dubai (Emiriah Arab Bersatu), Pulau Nami (Korea Selatan), Pulau Bali (Indonesia) dan Pulau Semporna (Sabah). Bukan itu sahaja, lima pemenang lain turut mendapat pakej penginapan di rangkaian AnCasa Hotels dan Resorts. Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd. Salem Kailany memberikan ucapan. Hadiah sagu hati iaitu kad minyak Petronas RM100 dan kad Touch 'n Go RM50 turut diberikan kepada 50 pemenang. Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd Salem Kailany dalam ucapannya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pembeli produk hartanah UDA sama ada kediaman mahupun komersial. "Saya mewakili Ahli Lembaga Pengarah, pihak pengurusan serta warga kerja Kumpulan UDA ingin merakamkan ribuan terima kasih atas sokongan serta kepercayaan yang diberikan. "Kami akan terus komited dalam mencorakkan, membentuk serta memodenkan bandar-bandar utama di Malaysia," ujarnya. Cabutan dilakukan oleh barisan pengurusan UDA secara fizikal sambil disaksikan peserta menerusi platform dalam talian Microsoft Teams dan siaran langsung akaun rasmi Facebook UDA Property. Ketua Pegawai Kewangan Bukit Bintang City Centre (kanan), Farizal Zainudin turut hadir sesi cabutan bertuah. Penyerahan hadiah kepada semua pemenang cabutan bertuah akan disempurnakan pada 28 Julai ini di Karnival UDA 2024 @ Pulau Pinang. Inisiatif cabutan bertuah dalam Kempen Hartanah UDA Ria 2023 berlangsung setahun bermula daripada 7 Julai 2023 hingga 6 Julai 2024, dengan 455 pembeli hartanah UDA menghantar penyertaan. "Pembeli kebanyakannya berasal dari Lembah Klang iaitu sebanyak 36 peratus diikuti wilayah selatan (35 peratus), wilayah utara (27 peratus) dan wilayah timur (dua peratus)," menurut UDA. Karnival UDA 2024 akan berlangsung selama lima bulan dari Julai hingga Oktober melibatkan empat negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Johor dan Sarawak. Sementara itu, sepanjang Kempen Hartanah UDA Ria berlangsung, Uda Property mencatatkan jualan hartanah bernilai RM276 juta yang antaranya terdiri daripada apartmen servis, rumah mampu milik, kediaman berkembar dan rumah teres dua tingkat. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube