suria

Tak perlu pasang ‘aircond’ tapi rumah tetap sejuk... Lelaki ini fikir jauh, tiada langsung masalah bil elektrik mahal

Terdapat cara alternatif untuk rumah selesa yang lebih mesra tenaga.

PELBAGAI petua penyaman udara dikongsikan bertujuan menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

Namun melalui satu hantaran di laman Facebook oleh Najmuddin Sulaiman, didedahkan reka bentuk rumahnya yang dikatakan langsung tidak memerlukan penyaman udara untuk menyejukkan persekitaran.

Menurut Najmuddin, kediamannya yang terletak di Kota Bharu, Kelantan mengaplikasikan sistem pengudaraan semula jadi untuk memastikan keadaan di dalam rumah sentiasa dingin.

"Alhamdulillah tak perlu pasang aircond, maka teramat jimat bil elektrik. Inspirasi saya daripada rumah orang Melayu dulu-dulu," ujarnya.

Ayuh kita ikuti apakah rahsia Najmuddin.

ARTIKEL BERKAITAN: Memang tak sangka bil elektrik boleh turun mendadak, beza RM50! Rupanya kena ubah ‘setting’ ini pada ‘aircond’

1) Kedudukan bangunan

Najmuddin menekankan kepentingan untuk membina rumah dengan posisi melawan arah angin.

"Hampir sepanjang tahun angin bergerak dari timur ke barat. Manakala angin yang datang dari arah utara pula agak 'keras'," jelas Najmuddin.

Pastikan kedudukan rumah dapat memaksimumkan kemasukan angin dengan memantau arah pergerakan bayu di kawasan sekitar anda.

2) Lorong

Kediaman Najmuddin juga mempunyai satu lorong yang memanjang di tengah untuk melancarkan aliran udara.

"Lorong dekat tengah ni adalah supaya udara boleh mengalir," katanya.

Bata bunga dengan rongga pengudaraan. -Gambar hiasan

3) Bata bunga

Najmuddin turut membina banyak lubang pengudaraan menggunakan bata bunga bagi memudahkan aliran keluar masuk udara di dalam rumahnya.

"Bata bunga ini saya letakkan pada aras berhampiran siling. Tujuannya untuk menyedut keluar udara panas yang dihasilkan badan manusia, ini kerana bahang bersifat ringan jadi ia akan naik ke atas.

"Lagi satu kalau daripada sudut sains, udara panas adalah bertekanan tinggi manakala udara sejuk bertekanan rendah, jadi secara semula jadi udara sejuk akan menarik keluar udara panas," terang Najmuddin.

Tingkap ditolak ke atas ketika dibuka. -Gambar hiasan

4) Tingkap

Jendela yang digunakan pada kediaman Najmuddin ternyata sedikit berbeza daripada kebiasaannya.

"Selalunya tingkap kita pasang adalah jenis tolak ke tepi, lain pula untuk tingkap rumah saya sebab ia adalah jenis tolak ke atas.

"Tujuannya untuk bertindak sebagai awning (peneduh) bagi mengurangkan cahaya matahari yang dapat memasuki rumah. Dalam satu frame tu saya akan bahagikan kepada tiga tingkap tinted," kata Najmuddin.

5) Cat

Najmuddin mempunyai sebab tersendiri mengapa rumahnya diwarnakan serba putih.

"Putih adalah warna yang terbaik untuk memantul haba," ujar Najmuddin.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain