ANTARA perkara merenyahkan selepas aktiviti menggoreng di dapur adalah untuk menanggalkan sisa makanan yang melekat pada kuali. Kebiasaannya kita akan rendam atau menggunakan segala kudrat untuk menyental. Namun melalui satu hantaran di laman Facebook oleh Fara Amirullah, ada dikongsikan solusi kepada permasalahan ini. "Saya panggil teknik ni sebagai 'garu' kuali, goreng la apa sekalipun tak akan melekat. Saya dapat petua ni daripada ibu saya dan sudah dipraktikkan sejak sekian lama," ujar Fara. Ayuh kita lihat! Teknik 'menggaru' kuali sebelum mula menggoreng. Menurut Fara, langkah 'menggaru' kuali ini bertujuan meratakan minyak masak secara sekata ke seluruh permukaan kuali. "Cara nak 'garu' kuali ni senang je, kita gunakan hujung sudip untuk menggores atau menggosok permukaan kuali yang sudah dipanaskan dengan minyak. "Lakukan dengan berhati-hati sebanyak beberapa kali supaya tidak terpercik minyak panas. "Jika rasa ngilu dengan bunyi geseran besi, boleh gunakan alternatif sudip kayu," jelasnya. Maklum balas netizen "Saya dah cuba memang menjadi, suami pun pelik kenapa duduk bising-bising dekat dapur tu, rupanya sebab tengah 'menggaru' kuali ni. "Tip ni berkesan untuk menggoreng ikan, ayam, nasi dan telur, saya approved! Suami pun gembira sebab senang kerja dia nak membasuh selepas ni," demikian kata sebahagian warga maya. - Fara Amirullah Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube