suria

Apa nak buat jika kereta tenggelam banjir? Ini panduan bantu kurangkan kos baik pulih, elak jadi besi buruk!

Kos membaik pulih kereta yang ditenggelami banjir memakan belanja besar.

BANJIR kilat sering berlaku di kawasan bandar-bandar besar yang mempunyai taburan penduduk padat setiap kali hujan lebat dalam tempoh yang lama.

Salah satu perkara yang merunsingkan orang ramai apabila berlakunya hujan lebat tanpa henti terutama di kawasan berisiko tinggi ialah kenderaan ditenggelami air banjir.

Situasi ini tentunya mendatangkan kerugian kepada pemilik kenderaan kerana terpaksa menanggung kos untuk membaik pulih.

Jika kereta anda terjebak dalam banjir, ikuti langkah-langkah berikut untuk mengurangkan kos pembaikan akibat banjir.

Kereta yang ditenggelami banjir perlu dibaik pulih.

1. Periksa paras air

Selepas banjir surut, periksa paras air dalam kereta. Lihat kesan lumpur untuk menilai tahap kerosakan.

Pastikan air tidak memasuki ruang enjin.

2. Jangan hidupkan enjin

Jika kereta terendam, jangan cuba hidupkan enjin kerana boleh menyebabkan litar pintas.

Cabut bateri dan panggil mekanik atau trak tunda untuk membawa kereta ke bengkel.

3. Periksa enjin dan gearbox

Setibanya di bengkel, periksa enjin dan gearbox dengan menggunakan batang celup untuk memeriksa minyak.

Jika minyak bercampur dengan air, keluarkan dan ganti dengan minyak baharu. 'Flushing' (proses penyingkiran) mungkin perlu dilakukan sebanyak tiga hingga lima kali.

4. Keluarkan petrol jika perlu

Air banjir juga boleh memasuki tangki minyak. Jika ini berlaku, keluarkan petrol yang tercemar untuk mengelak lebih banyak kerosakan.

5. Cabut dan keringkan komponen

Cuci kereta dengan semburan air, tetapi elakkan menyembur pada lubang penapis udara dan penutup minyak. Tanggalkan komponen seperti radio dan keringkan.

Bersihkan kekotoran pada kusyen untuk mencegah bau hapak.

Pertimbangkan menggunakan perkhidmatan profesional untuk mencuci kusyen dengan teliti.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain