suria

Lampu ABS menyala jangan buat-buat tak nampak... Ini 5 puncanya, segera ke bengkel elak kemalangan

Lakukan pemeriksaan segera sekiranya lampu ABS menyala.

SISTEM brek cegah kunci atau Anti-lock Braking System (ABS) adalah salah satu ciri keselamatan penting dalam kenderaan moden.

Ia direka untuk mengelakkan tayar terkunci semasa brek kecemasan, membolehkan pemandu mengekalkan kawalan kenderaan.

Namun apabila lampu ABS menyala, isyarat itu bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana boleh menyebabkan kemalangan.

Dalam satu perkongsian Altimat Auto Garage di TikTok, seorang lelaki menunjukkan lima punca yang menyebabkan lampu ABS menyala.

1. Minyak brek kurang

Salah satu punca paling biasa lampu ABS menyala adalah kekurangan minyak brek. Jika paras minyak brek terlalu rendah, ia boleh menandakan terdapat kebocoran dalam sistem brek.

Ini adalah masalah serius yang boleh menjejaskan fungsi brek dan berpotensi mengancam nyawa.

2. Masalah sensor ABS

Setiap kenderaan yang dilengkapi dengan ABS mempunyai sensor pada tayar. Jika salah satu sensor ini rosak atau putus, lampu ABS akan menyala.

Kerosakan ini boleh menyebabkan sistem brek tidak berfungsi dengan baik, meningkatkan risiko kemalangan.

Wing Hooi to interview VW for top 10 vehicle safety technologies in today's cars.

Pam hidraulik penting dalam sistem brek.

3. Kerosakan modul ABS

Modul ABS berperanan untuk menerima dan memproses data dari sensor ABS.

Jika modul ini rosak, ia tidak dapat berfungsi dengan betul, menyebabkan lampu ABS menyala.

Kerosakan ini boleh mengakibatkan brek tidak berfungsi dengan efektif dan berpotensi membahayakan nyawa pemandu dan penumpang.

4. Fusible link (fuse) terbakar

Fuse dalam sistem elektrik kenderaan juga boleh menjadi punca lampu ABS menyala.

Jika fuse terbakar, ia boleh mengganggu aliran elektrik ke sistem ABS, menyebabkan kerosakan dan berisiko tinggi semasa situasi kecemasan.

5. Pam hidraulik uzur atau rosak

Pam hidraulik memainkan peranan penting dalam sistem brek.

Jika pam ini sudah uzur atau rosak, ia boleh menyebabkan brek kenderaan tidak berkesan, meningkatkan risiko kemalangan.

Jadi jangan ambil ringan atau menangguhkan pemeriksaan apabila lampu ABS menyala.

Anda dinasihatkan untuk segera bawa kenderaan anda ke bengkel untuk diagnosis dan pembaikan.

Sistem brek adalah aspek kritikal dalam keselamatan pemanduan dan sebarang kerosakan boleh mengancam nyawa.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain