suria

Ramai tunggu tangki hampir kosong baru isi semula minyak, sebenarnya undang masalah besar

Ramai yang mengisi minyak apabila tangki hampir kosong.

TERDAPAT tabiat dalam kalangan pemilik kereta yang perlu diberi perhatian serius seperti menunggu sehingga tangki hampir kosong sebelum mengisi semula minyak.

Tabiat ini dikatakan bukan sahaja merugikan dari segi kewangan, tetapi juga boleh membawa kepada masalah mekanikal yang lebih besar.

Dalam perkongsian Zulkifli Mohamed Sharif di Facebook, dia berkata terdapat dua kesan buruk boleh berlaku kepada kereta sekiranya pemilik tidak mengubah corak pengisian semula minyak.

1. Kerosakan pada fuel pump

Salah satu risiko utama apabila menunggu hingga lampu amaran minyak menyala adalah kerosakan pada fuel pump.

Apabila tahap terlalu rendah, fuel pump akan terdedah kepada panas yang berlebihan kerana tidak cukup minyak untuk menyejukkannya.

Kos untuk menggantikan alat ini pastinya mahal dan jika anda menggunakan alat ganti aftermarket (OEM), kualitinya adalah berbeza-beza (ada yang hanya bertahan selama beberapa minggu).

Cara pengisian minyak boleh mempengaruhi ketahanan kereta.

2. Sistem pembakaran tersumbat

Menunggu hingga tangki kosong boleh menyebabkan kotoran yang terkumpul di bahagian bawah tangki minyak masuk ke dalam sistem bahan bakar.

Ini boleh menyumbat filter bahan bakar dan menyebabkan masalah pada enjin, yang memerlukan kos pembaikan dengan jumlah tinggi.

3. Kesan kepada catalytic converter

Apabila enjin berfungsi tanpa bekalan bahan bakar mencukupi, ia boleh menyebabkan pembakaran yang tidak lengkap.

Ini bukan sahaja mengurangkan prestasi enjin tetapi juga boleh merosakkan catalytic converter yang mahal.

Jangan tunggu sehingga lampu amaran menyala untuk mengisi minyak tetapi sebaliknya, isikan minyak apabila tangki berada pada tahap suku penuh.

Ini bukan sahaja membantu memastikan sistem bahan bakar berfungsi dengan baik, tetapi juga dapat mengelakkan kerosakan yang tidak perlu dan kos pembaikan tinggi.

Mengubah tabiat isi minyak anda boleh memberikan impak positif kepada prestasi kereta dan menjimatkan wang dalam jangka panjang.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain