suria

Powerbank ‘cap ayam’ tak dijamin selamat! Ini cara cas, penyimpanan bantu kurangkan risiko meletup

Kecederaan serius boleh berlaku sekiranya powerbank meletup.

KES 'powerbank' (pengecas mudah alih) meletup atau terbakar yang sering dikongsi media sosial tentunya menimbulkan kegusaran dalam kalangan pengguna.

Ramai perlu tahu bahawa alat ini tidak boleh digunakan seumur hidup kerana ia mempunyai jangka hayat sendiri serta cara penjagaan khusus.

Secara umum, 'powerbank' sebaiknya digunakan antara dua hingga tiga tahun, bergantung kepada kekerapan penggunaan.

Jika anda menggunakan 'powerbank' setiap hari, sebaiknya tukar selepas dua tahun untuk memastikan tidak berlaku sebarang insiden tak diingini.

Selain itu, lokasi atau ruang penyimpanan 'powerbank' juga penting sebagaimana dikongsikan ZalyaZahari di X.

Powerbank meletup ketika dicas di atas karpet.

Berdasarkan perkongsiannya, pengguna perlu mengelak meletakkan powerbank di tempat seperti dalam kereta, atas tilam, atau di atas benda mudah terbakar seperti radio dan peralatan elektrik lain.

Dari segi cara mengecas, sebaiknya letakkan powerbank di atas lantai untuk membolehkan lantai menyerap haba dan mengekalkan suhu supaya tidak terlalu panas.

Jangan sekali-kali meletakkan powerbank di atas permukaan yang mempunyai tekstil seperti tilam, toto atau karpet kerana ini boleh menyebabkan peranti menjadi panas dan berisiko meletup semasa pengecasan.

Akhir sekali, elakkan membeli 'powerbank' murah tanpa jenama (cap ayam) atau 'copy ori' kerana ia tidak mempunyai jaminan keselamatan.

Untuk rekod, pada 21 September lalu, sebahagian rumah pempengaruh gajet, Amad Zahry terbakar dipercayai berpunca daripada powerbank yang meletup secara tiba-tiba.

Melalui beberapa video dimuat naik di TikTok, Amad menjelaskan bahawa api mula merebak selepas api dari letupan powerbank tersebut menyambar langsir di bilik utama rumah teresnya, menyebabkan gajet lain seperti telefon bimbit dan komputer turut hangus.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain