suria

Terfikir nak beli rumah lelong? Ini bajet yang perlu anda sedia... Pastikan ada duit lebih, banyak kena bayar

Rumah lelong antara pilihan masyarakat masa kini.

HARTANAH yang dijual secara lelongan semakin menjadi pilihan masyarakat masa kini berbanding kediaman baharu atau juga disebut sebagai 'koyak plastik'.

Maklumlah, harganya jauh lebih murah berbanding pasaran semasa dan pastinya memberi pulangan yang berbaloi-baloi.

Anda yang ingin membida hartanah lelong perlu bersedia dengan wang yang cukup kerana kebiasaannya 'duit muka' atau deposit yang perlu dibayar adalah 10 peratus daripada harga jualan.

Ini persediaan awal yang perlu anda lakukan jika ingin membeli rumah lelong seperti perkongsian Peguam Hartanah, Datuk Nazri Mustafa.

1. Deposit kebiasaannya 10 peratus

Bagaimanapun pada masa ini, terdapat beberapa institusi perbankan yang menerima deposit sebanyak lima peratus.

ARTIKEL BERKAITAN: Rekod bayaran ‘cantik’, baki tak berganjak! Pemuda ajar 3 cara pendekkan tempoh pinjaman, hutang rumah langsai dalam 12 tahun

2. Yuran guaman peguam pembida

Selain deposit, anda juga perlu menyediakan sejumlah wang bagi urusan guaman untuk peguam pembida bagi tujuan pindah milik dan duti setem. Anggaran kasar harga bidaan adalah 3.5 peratus.

Walau bagaimanapun, anda boleh bertanya lanjut kepada peguam yang biasa terlibat dengan kes lelongan.

3. Duit bayaran tunggakan cukai dan utiliti

Rumah lelong kebiasaannya mempunyai tunggakan cukai dan utiliti.

Oleh itu, anda perlu bersedia untuk membayar cukai tanah, cukai taksiran dan apa sahaja utiliti yang tertunggak.

Bagi kediaman jenis strata, anda perlu menjelaskan bil penyelenggaraan yang tertunggak termasuk penalti lewat bayar yang ditinggalkan pemilik asal.

Lelongan awam dilakukan apabila pemilik gagal menjelaskan bayaran pinjaman atau disenaraikan sebagai muflis. -Gambar hiasan

Lelongan awam dilakukan apabila pemilik gagal menjelaskan bayaran pinjaman atau disenaraikan sebagai muflis. -Gambar hiasan

4. Tunggakan pada pemaju

Sekiranya terdapat tunggakan kepada pemaju, kos tersebut juga perlu dilangsaikan oleh anda ya.

5. Double transfer atau dua transaksi bayaran

Sesetengah pemaju enggan menerima transaksi secara terus dan meminta anda melakukan dua transaksi bayaran iaitu daripada bank kepada defaulter dan daripada defaulter kepada anda.

Bank akan menandatangani bagi pihak defaulter.

Jadi, kos untuk bayaran dua kali duti setem perlu ditanggung anda sendiri.

Bagaimanapun, ia melibatkan kes yang sudah ada geran tetapi belum buat pindah milik.

6. Bayaran pentadbiran pemaju

Ia merupakan bayaran bagi kos-kos berkaitan dokumentasi dan pengurusan unit hartanah yang disediakan pihak pemaju.

Sesetengah hartanah lelong turut digelar 'rumah busuk' kerana perlu dibaik pulih.

Sesetengah hartanah lelong turut digelar 'rumah busuk' kerana perlu dibaik pulih.

7. Bayaran fi liquidator

Bayaran ini perlu dilakukan apabila pemaju muflis dan proses pindah milik pertama daripada pemaju kepada defaulter belum sempurna.

8. Bersedia untuk bayaran caj tersembunyi dan kos baik bulih kediaman

Tidak dinafikan, kebanyakan hartanah lelong turut digelar 'rumah busuk' kerana pembeli perlu membuat renovasi atau baik pulih sehingga ia sesuai untuk diduduki.

Kadang kala kos untuk baik pulih yang dilakukan turut 'makan' modal tinggi.

Untuk makluman, rumah lelong merupakan hartanah yang akan dijual oleh pihak bank melalui lelongan awam. Ia dibuat sama ada di pejabat tanah, mahkamah atau di tempat lelongan.

Harganya juga jauh lebih rendah iaitu di antara 30 peratus hingga 50 peratus daripada harga pasaran semasa.

Selain unit strata seperti kondominium dan flat, terdapat kediaman jenis banglo mahupun rumah teres yang dijual secara lelongan atas sebab-sebab tertentu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain