suria

Cara mudah kenal pasti kewujudan sarang ular, perhatikan 3 ciri ini di sekitar rumah anda

Serangan ular boleh membawa maut. -Gambar hiasan

JANGAN sudah terhantuk baru terngadah!

Dalam apa jua perkara, kita disarankan untuk mengambil langkah berjaga-jaga sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Begitu juga aspek keselamatan di rumah di mana ular dilihat semakin kerap muncul sejak kebelakangan ini, mungkin kerana penerokaan hutan yang berleluasa.

Berikut adalah beberapa petunjuk yang anda boleh perhatikan bagi mengenal pasti sekiranya ada ular membuat sarang di dalam kawasan rumah anda.

Jika menjumpai salah satu petunjuk berkenaan, segera hubungi pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan selanjutnya.

1) Cari lubang dalam kawasan semak

Petunjuk pertama yang anda perlu waspada adalah kewujudan lubang dalam semak samun, ia kemungkinan besar merupakan sarang ular.

Lubang ini mempunyai diameter berukuran 2.5 sentimeter (cm) atau kurang, kedalaman pula adalah antara 15 hingga 25 cm.

Untuk makluman, ular mampu menggali lubang sedalam 91cm.

Sarang ular dan bekas kulitnya selepas haiwan reptilia tersebut bersalin kulit. -Gambar hiasan

2) Keadaan di luar lubang

Sekiranya ada ditemukan lubang, perhatikan pula keadaan di kawasan sekitarnya untuk memastikan ia adalah sarang ular.

Jika terdapat kesan cakaran pada tanah dan lubangnya kelihatan lebih besar serta meluas, boleh jadi ia merupakan sarang tikus.

Sarang ular kebiasaannya mempunyai sisa tulang haiwan seperti tikus, burung atau tupai yang dimakan. Kalau anda menemukan tulang-tulang sebegini berhampiran lubang tersebut, berhati-hati.

Lihat juga najis ular di kawasan berhampiran lubang, ia berwarna coklat tua serta bersalut serbuk putih.

Petunjuk terbesar yang lain adalah kewujudan kulit ular. Umum mengetahui ular melalui proses penggantian kulit secara berkala.

3) Masukkan kayu ke dalam lubang

Sekiranya anda mempunyai keberanian, masukkan kayu ke dalam lubang untuk lihat jika si ular sedang berehat di dalam 'rumahnya'.

Namun cara ini sedikit berisiko kerana anda berpotensi untuk menjadi mangsa serangan haiwan reptilia tersebut.

Sebaiknya dapatkan khidmat daripada mereka yang lebih pakar seperti Jabatan Perhilitan. - Kompas.com

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain