suria

Rupanya ada cara cegah trafik jadi makin sesak... Paling penting jangan terus pulas stereng lepas bagi signal

Corak pemanduan seseorang boleh mempengaruhi aliran trafik secara keseluruhannya.

LEBUH raya yang sesak akan menggugat emosi seseorang serta merugikan masa.

Tahukah anda, tabiat pemanduan pengguna jalan raya sebenarnya boleh menyumbang kepada trafik yang perlahan.

Berikut merupakan beberapa gaya pemanduan yang anda perlu hentikan kerana berpotensi melembabkan aliran trafik.

Ayuh kita semak semula!

1) Jarak dengan kenderaan depan

Elakkan berada terlalu hampir dengan kenderaan di depan anda, budaya 'mencucuk' ini secara tidak langsung boleh mencetuskan trafik yang perlahan sehingga berkilometer jauhnya.

Seelok-eloknya letakkan jarak yang selamat antara kenderaan anda dengan kenderaan di depan iaitu minimum sekitar tiga saat.

Apabila anda mempunyai jarak selamat yang mencukupi, semakin kurang kecenderungan kita untuk brek mengejut sekiranya kenderaan di depan memperlahankan kelajuannya secara tiba-tiba.

Brek mengejut merupakan penyebab utama jalan raya menjadi sesak, ia berikutan tindak balas berantai atau kesan domino apabila kenderaan lain di belakang turut sama menekan brek secara serentak.

Pastikan anda memperlahankan kelajuan kenderaan secara beransur-ansur, cukup sekadar melepaskan pedal minyak sedikit demi sedikit, hanya tekan brek apabila situasi betul memerlukan.

Lebih efisien untuk mengawal kelajuan kenderaan menggunakan pedal minyak. -Gambar hiasan

2) Berikan isyarat apabila menukar lorong

Lampu isyarat kenderaan penting untuk memastikan aliran trafik yang tersusun.

Sekiranya anda menukar lorong secara mendadak, kenderaan di lorong tersebut terpaksa brek mengejut dan seterusnya mengakibatkan trafik perlahan di belakang.

Sebagai peringatan, berikan masa beberapa saat selepas menyalakan lampu isyarat sebelum anda memutar stereng untuk memasuki lorong.

Ini supaya pemandu di lorong tersebut sempat memberikan ruang kepada kenderaan anda bagi menyertai laluan.

Seboleh-bolehnya elakkan daripada kerap bertukar lorong, ia boleh mengganggu keharmonian lalu lintas.

3) Fokus pada pemanduan

Jangan jadi penyibuk, ramai dalam kalangan pemandu yang gemar memperlahankan kenderaan untuk menyaksikan insiden di sekitar jalan raya.

Misalnya kenderaan rosak di bahu jalan, pihak berkuasa menahan kereta untuk memberikan saman atau kemalangan yang berlaku di lebuh raya berlawanan arah.

Harus diingat prinsip ini, ketika anda di atas jalan raya, kenderaan anda adalah sebahagian daripada sistem yang besar. Sekiranya kenderaan anda menjadi perlahan, kenderaan lain akan turut terkesan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain