suria

Sakit mata tengok rumput tumbuh meliar celah batu bata? Cuba buat 4 petua ini, pasti puas hati

Ini cara mudah bersihkan anjung rumah daripada rumput liar.

KEBANYAKAN anjung rumah yang menggunakan lantai bata sering menghadapi isu rumput liar tumbuh di celahan sehingga memburukkan pemandangan.

Keadaan ini kebiasaannya berlaku kerana ada tanah yang memasuki celah batu bata ketika waktu hujan atau angin bertiup.

Melalui satu hantaran di laman Facebook, warga maya tampil memberikan beberapa petua untuk mencegah rumput daripada terus tumbuh di kawasan berkenaan.

Ayuh kita lihat!

Rumput hanya memerlukan sedikit tanah dan boleh tumbuh di merata-rata tempat. -Gambar hiasan

1) Tabur garam kasar

Tunggu hari panas, ambil garam kasar dan kemudian tabur pada celah batu bata atau simen yang terjejas.

Selepas beberapa hari, anda akan lihat rumput menjadi kering, cabut kesemua rumput tersebut dan bersihkan kawasan berkenaan.

Seterusnya tabur sekali lagi garam kasar di setiap celahan atau rekahan untuk menghalang rumput baharu daripada tumbuh.

2) Racun rumput DIY

Anda juga boleh hasilkan racun rumput buatan sendiri, pasti tiada lagi tumbuhan melata selepas itu.

Bahan-bahannya terdiri daripada air, garam kasar, cuka dan sabun basuh pinggan, tiada nisbah yang tepat, ikut kesesuaian.

Campurkan kesemua bahan ini di dalam satu bekas penyembur, kemudian boleh sembur ke atas rumput, siap!

Lihat keberkesanannya beberapa hari selepas itu, cara ini adalah lebih selamat kerana tidak akan menyebabkan keracunan kepada haiwan peliharaan atau kanak-kanak.

3) Minyak terpakai

Tuangkan minyak hitam kereta atau minyak masak terpakai di celahan batu bata yang mempunyai rumput.

Tekstur likat minyak itu akan menghalang rumput daripada menerima sinaran matahari, air dan nutrien sehingga ia 'kebuluran' lalu akhirnya mati.

4) Alas dengan plastik

Buka semua blok batu bata, kemudian alas dengan kanvas plastik, selepas itu boleh pasang semula batu bata itu tadi.

Teknik ini akan menyebabkan rumput menjadi sesak dan tidak dapat tumbuh.

Selamat mencuba dan semoga bermanfaat!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan