suria

Air banjir tak masuk rumah... Lelaki kongsi idea kreatif buat tembok guna plastisin dan papan, terbukti berkesan!

Papan dan plastisin digunakan untuk mencipta tembok menghalang air banjir. - Foto, TikTok @mfariswan

BAGI penduduk di lokasi tertentu, musibah banjir bagaikan 'acara' tahunan yang perlu dilalui dengan reda dan tabah walaupun ia menyebabkan mereka mengalami kerugian besar.

Dek kerana itu, segelintir daripada mereka tampil dengan pelbagai idea kreatif untuk menghalang air banjir daripada memasuki kediaman, seperti yang dilakukan oleh @mfariswan.

Menerusi perkongsiannya di TikTok, lelaki ini berkongsi teknik kreatifnya dengan hanya menggunakan dua bahan sahaja, iaitu kepingan kayu atau papan dan tanah liat mainan kanak-kanak untuk dijadikan sebagai 'tembok air banjir'.

"Semalam air masuk rumah, hari ni kita DIY. Bermodalkan kayu buruk dan plastisin saja," ujarnya.

banjir 2

'Tembok' diletakkan di pintu utama dan pintu sliding.

Cara-caranya:

1) Kepingan kayu atau plywood diletakkan merentangi pintu atau laluan terbuka.

2) Tampal dan palam plastisin seolah-olah seperti gam pada lubang antara kayu dengan lantai.

"Pastikan tampal tu jangan ada air masuk. Test dulu, kalau ada air masuk, tambah-tambahkan plastisin. InsyaAllah berhasil.

"Pastikan kayu tinggi dan tebal. Kalau area anda jenis air 'banjir termenung', kena balut plywood atau kayu dengan plastik. Insya-Allah tahan lama dan tak reput," ujarnya lagi.

Menerusi video tersebut juga, kelihatan bahagian dalam kediaman @mfariswan langsung tidak dimasuki air biarpun halaman rumahnya dinaiki air banjir hampir separas betis.

Sehingga kini, perkongsian @mfariswan meraih dua juta jumlah tontonan di TikTok di samping ribuan komen netizen yang memuji teknik kreatifnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain