TIDAK dinafikan, bagi mereka yang sudah bekerja makan gaji khususnya dalam tempoh melebihi 10 tahun, pasti terdetik rasa bosan dengan pekerjaan sendiri. Ada kalanya situasi ini didorong oleh rutin harian yang sama, kekangan waktu untuk bersama keluarga, kurang kebebasan dalam membuat keputusan dan pelbagai faktor lain, sekali gus membuatkan kita mula berfikir untuk bekerja sendiri. Bagaimanapun, keputusan untuk berhenti kerja dan bekerja sendiri adalah satu langkah yang sangat besar serta memerlukan pertimbangan daripada pelbagai sudut. ARTIKEL BERKAITAN: Kerja ‘tip-top’ tapi tak naik pangkat... Orang makan gaji kena ambil tahu punca, jangan jadi pekerja susah diganti! Mungkin pada dasarnya kerja sendiri akan membuatkan seseorang mempunyai waktu yang lebih fleksibel, namun hakikatnya perjalanan untuk membina perniagaan sendiri tidak mudah seperti dijangka. Menerusi satu hantaran di TikTok, seorang pelayar @zhafreminder berkongsi pengalamannya sendiri untuk dijadikan pengajaran bersama. Tekanan di tempat kerja menjadi salah satu faktor mengapa seseorang memilih untuk berhenti kerja. -Gambar hiasan "Korang ada kerja tetap, gaji tetap, tapi rasa nak resign dan buat kerja sendiri? Baca pengalaman aku ni dulu sebelum korang decide. "Ramai ingat kerja sendiri bebas dan tak terikat, namun kebebasan itu yang jadi perangkap kepada mereka yang tak boleh nak berdisiplin dan mengurus masa dengan baik. "Dulu boleh datang kerja awal jam 8 pagi, balik jam 6 petang. Tapi bila kerja sendiri kadang tiga jam saja kerja, selebihnya 'terapung'," kongsinya. Begitu juga soal pendapatan, menurutnya, setiap wang atau untung yang diperoleh bergantung sepenuhnya kepada usaha sendiri. "Dulu hujung bulan confirm dapat gaji. Sekarang, kalau buat, dapat jana pendapatan. Kalau tak buat, 'habuk' pun tak ada. "Kerja sendiri tak semestinya boleh dapat income sama atau lebih daripada kerja hakiki dulu. Tak semua tapi ramai begitu. "Mungkin di fasa awal hanya dapat buat sikit-sikit, lepas tu lama-lama jadi lumayan. Tapi ambil masa, bukan instant macam mi segera," kongsinya lagi. Antara kelebihan bekerja sendiri adalah mempunyai waktu yang fleksibel. -Gambar hiasan Tambah pelayar itu lagi, berdasarkan pengalamannya, dia berpandangan pekerjaan tetap lebih terjamin bukan sahaja dari soal kewangan, malah faedah-faedah yang ditawarkan oleh syarikat seperti perubatan, cuti tahunan, cuti sakit, bonus dan sebagainya. "Kerja sendiri? Hanya ada income hasil daripada usaha sendiri. Kalau sakit duit tu kau guna. Cuti pula tak ada," tambahnya. Namun menurut pelayar tersebut, pendapat yang disuarakan hanya berdasarkan pengalaman sendiri dan tidak bermaksud untuk memandang rendah atau memperkecilkan usaha individu yang memilih untuk bekerja sendiri. "Cuma korang kena prepare dan plan untuk transition. "Mungkin ada yang korang tak setuju, tapi ikut pendapat masing-masing. Dua-dua ada kelebihan dan kekurangan masing-masing," akhirnya. Kesimpulannya, setiap pilihan mempunyai pro dan kontra masing-masing. Jika berhasrat untuk mencabar diri, pastikan anda membuat penyelidikan (research) serta bersedia dari segi kewangan, kemahiran dan rangkaian (networking) sebelum membuat keputusan untuk beralih ke dunia keusahawanan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube