PENGURUSAN jemaah haji dan umrah semakin berkembang dan sistematik dalam kalangan syarikat tempatan, dengan banyak ruang dan peluang dibuka untuk pembangunan bakat baharu, tidak terhad kepada mutawif dan mutawiffah semata-mata. Menyedari potensi tersebut, YEG Academy dengan kerjasama Kolej Antarabangsa Inovatif melancarkan program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Haji Umrah dan Pengurusan Penerbangan. Pengarah Pengurusan YEG Academy, Hasan Ithnin berkata industri itu mengalami kekurangan tenaga kerja profesional dalam bahagian operasi sesebuah syarikat pengurusan haji dan umrah bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga luar negara. Justeru Fakulti Pengajian Antarabangsa diwujudkan, salah satu usaha sama antara YEG Academy dan Kolej Antarabangsa Inovatif untuk memperkenalkan jurusan Pengurusan Haji dan Umrah di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda. Industri haji dan umrah kini kian berkembang. -Foto AFP "Selepas lima tahun, kami melihat terdapat permintaan yang tinggi untuk pekerjaan di peringkat pengurusan. Disebabkan itu kami melancarkan program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Haji Umrah sempena dengan kempen Melahirkan Tenaga Pakar Profesional Industri Haji Umrah 2025. "Pihak kami mensasarkan 1,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula dengan diploma, ijazah sarjana muda dan kami sedang merangka untuk program ijazah sarjana pada masa depan. Impian kami adalah menjadi pusat kecemerlangan haji umrah yang menjadi rujukan di seluruh dunia," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Inovatif di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad. Muhammad Syakir Alif berkongsi pengalaman mengurus syarikat berkaitan umrah dan haji. Sementara itu, menurut pelajar yang sedang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Haji Umrah, Muhammad Syakir Alif Che Razali, 21, dia kini telah membuka syarikat sendiri dan memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi Hijrah Alliance Travel Sdn Bhd. Bermula dengan program Diploma Pengurusan Haji dan Umrah, pelajar berasal dari Kelantan itu membuat keputusan untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi sambil berkerja. "Saya rasa dengan jawatan yang saya galas, ilmu peringkat diploma tidak mencukupi. Saya telah tamat satu semester program ijazah sarjana muda dan dapat rasa perbezaannya ditambah dengan pengalaman bekerja. "Memang berbaloi untuk saya sambung belajar kerana menguruskan sebuah syarikat dan jemaah bukanlah mudah. Saya perlu ada ilmu untuk mengembangkan syarikat ini," ujar Syakir. Industri penerbangan Dalam pada itu, menerusi Kempen 2025 Kickstartyourcareer in Aviation, YEG Academy dengan kerjasama strategik bersama Meatech Training Centre dan Kolej Universiti Innovatif melancarkan Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Penerbangan dan Program Diploma dalam Bidang Penerbangan. Pengarah Pemasaran YEG Academy, Azizulhakim Suhaimi berkata, permintaan pasaran yang tinggi terhadap tenaga pakar dan keperluan perkembangan kerjaya dalam industri penerbangan menyebabkan pihaknya melahirkan program-program mengikut kehendak pasaran. Pelajar boleh mendapat bantuan pembiayaan menerusi PTPTN dan PTPK. SHAHRIL "Bagi Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Penerbangan, pihak kami mensasarkan untuk mereka yang sudah bekerja. Kekuatan program ini adalah silibus mengikut industri, masa belajar yang fleksibel iaitu kelas di hujung minggu sahaja dan jika mereka hanya ada SPM tetapi ada pengalaman kerja yang lama, kita boleh bantu untuk terus ke peringkat ijazah sarjana muda," katanya. Sementara itu, Ketua Pengawai Eksekutif Meatech ATC Sdn Bhd, Shahril Azwan Abdul Hamid berkata, selaras dengan sasaran Malaysia mahu menjadi hab penerbangan di peringkat Asia Tenggara pada 2030, pekerjaan dalam bidang penerbangan akan terbuka luas. Shahril Azwan (kiri), Che Rozaina (tengah) dan Azizulhakim (kanan) ketika melancarkan Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Penerbangan. "Dunia penerbangan bukan sekadar juruterbang atau pramugari sahaja, tetapi terdapat peluang pekerjaan yang sangat luas pada bahagian operasi. Tidak mungkin kita mahu orang luar bekerja di tempat kita, jadi saya seru untuk anak muda sambung belajar demi masa depan yang lebih terjamin. "Selain itu, buat pelajar yang mengikuti program peringkat sijil dan diploma penerbangan mereka turut mendapat wang sara hidup sebanyak RM600. Tahun depan program kami tawarkan akan disatukan dengan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) iaitu Sijil Kemahiran Malaysia tahap 3. "Pelajar boleh mendapat bantuan pembiayaan menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK)," ujar Shahril. Bukti kejayaan program penerbangan yang dianjurkan oleh Meatech, hampir 80 peratus pelajar mendapat pekerjaan dalam industri penerbangan. Antaranya, Arisia Parikos, 22, dari Keningau, Sabah yang kini mengikuti program Cabin Crew/ Customer Service & Ground Handling selama tiga bulan. "Belum pun tamat latihan saya telah mendapat tawaran pekerjaan sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan di POS Aviation KLIA. Ini yang kami sebagai pelajar mahukan, selepas belajar mendapat kerja," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube