suria

Tanggung derita 12 tahun akibat ‘gabungan sihir dan gangguan jin’! Kaki wanita bernanah, badan rasa terbakar jika terkena hujan

Zawiyah terpaksa menanggung derita akibat perbuatan sihir sejak 12 tahun lalu. - Gambar Sekadar Hiasan

SUDAH 12 tahun Zawiyah menderita dikatakan akibat perbuatan syirik. Hidupnya turut dibelenggu dengan pelbagai kejadian misteri sehingga dia meracau dan meraung setiap kali tibanya waktu malam.

Setiap kali bangun tidur, badannya penuh dengan kesan lebam seperti dipukul selain bahagian betisnya terasa seperti ada benda menjalar di dalamnya membuatkan dia sukar berjalan.

ARTIKEL BERKAITAN: Padah buat kerja dalam gelap, pintu bilik air terbuka... Pemuda rasa pelik selepas penghantar makanan berwajah pucat hadir ke rumah

Kaki kanannya juga mengalami luka dan setiap kali memijak lantai, rasa seperti dicucuk dengan jarum. Sangkanya, dia terkena penyakit diabetes namun pemeriksaan di hospital tidak menunjukkan sebarang masalah terhadap kesihatannya.

"Setiap kali berjumpa doktor untuk mencuci luka kaki, bacaan gula dalam darah normal iaitu 5.6mmol/l, darah putih juga normal. Doktor pun pelik mengapa kaki saya boleh luka dan sukar sembuh.

"Jururawat yang mencuci luka pun hairan kerana setiap kali balutan luka dibuka, ada ketulan kotoran yang melekat tetapi ia tidak boleh ditanggalkan," katanya.

Sihir

Akibat sihir, Zawiyah tidak boleh terkena air hujan dan kakinya membengkak.

Bertambah parah, Zawiyah tidak boleh terkena air hujan walaupun setitik. Titisan air hujan yang terkena pada badannya akan membuatkan dia berasa seperti terbakar.

Pelbagai usaha sepanjang 12 tahun dilakukan untuk cuba memulihkan dirinya namun usahanya semua sia-sia. Malah suami Zawiyah sanggup menjual kereta kesayangannya semata-mata ingin menampung kos rawatan di seluruh negara.

"Saya kerap melakukan solat hajat, istikharah dan petunjuk yang saya dapat tetap sama, saya telah disihir oleh orang yang saya kenali, tetapi saya tidak dapat mengagak siapakah orangnya.

"Tetapi ia bukan lagi perkara penting kerana saya mahu kembali sihat dan menjalani kehidupan seharian seperti biasa," ujarnya.

Mimpi dibelit ular, dendam punca gangguan!

Menceritakan kejadian buruk menimpanya, dia sering bermimpi beberapa ekor ular membelit dirinya dan setiap kali terjaga daripada mimpi ngeri itu badannya akan lebam-lebam.

Hidupnya sentiasa berada dalam ketakutan dan tidak tenteram, yang mana dia sentiasa berasa ada sesuatu mengekorinya dan berbisik di telinganya setiap kali berseorangan.

Kelihatan seperti ada benda menjalar di bahagian kaki pesakit kelihatan seperti ular.

AMRI

PENGAMAL PERUBATAN ISLAM

"Gangguan di rumah sudah jadi perkara biasa sehingga satu tahap kami sekeluarga sudah terbiasa tetapi saya berasa kasihan apabila anak-anak juga jadi mangsa," ceritanya.

Menurut Zawiyah, keadaan yang menimpanya adalah disebabkan dendam. Dia percaya puncanya apabila suami kepada individu yang menghantar sihir itu pernah berniat untuk memperisterikan anak perempuan Zawiyah.

Namun pinangan itu ditolak kerana tidak mahu bergelar isteri kedua apatah lagi lelaki itu sudah boleh dianggap sebagai bapa.

"Ketika proses berubat dan jin menyebut nama tuannya terus saya tahu siapa dalang di sebalik kejadian menimpa saya. Tidak sangka tindakan saya menolak pinangan untuk suaminya telah membuatkan dia berdendam," jelasnya.

Jin di kaki penyebab kaki bernanah

Sementara itu, ustaz yang merawatnya yang dikenali sebagai Amri menjelaskan ketika melakukan rawatan, pesakit tiba-tiba berasa panas di belakang badan, tekak, dada dan tengkuk selain kakinya rasa seperti terbakar.

Simptom itu kata Amri, adalah gejala biasa seseorang terkena sihir namun apa berlaku pada Zawiyah adalah gabungan sihir dan gangguan jin.

553

Zawiyah bermimpi dibelit ular dan badannya menjadi lebam selepas terjaga dari tidur.

"Dalam perbualan bersama jin, ia memberitahu ada tujuh semuanya yang masuk dalam badan wanita itu dan ia dihantar oleh kenalan Zawiyah yang meminta mereka mengganggu keluarganya.

"Ia juga mendedahkan enggan keluar daripada badannya selain mengakui tuannya ada menanam sesuatu pada kaki Zawiyah yang turut menjelaskan mengapa kakinya bengkak dan bernanah," ceritanya.

Selepas pelbagai usaha dilakukan bagi memujuk jin tersebut, ia akhirnya bersetuju keluar dari badan pesakit dan keadaan Zawiyah pulih buat seketika.

Namun pulihnya tidak lama, apabila Zawiyah kembali meracau dan menjerit - tanda ia kembali dirasuk dan rupa-rupanya masih ada jin yang enggan keluar daripada badannya.

Ia tetap berdegil meskipun Amri memberitahu sudah membaca ayat al-Quran dan membuat 'perjanjian' untuk memutuskan semua hubungan dengan tuannya dan tidak akan dibunuh.

"Ia memberitahu tidak jumpa pintu keluar, ketika ia cuba keluar, ada bunyi ular berdesir dan berkemungkinan ia jin ular. Kelihatan seperti ada benda menjalar di bahagian kaki pesakit seperti ular.

"Jin menjerit nama tuannya dan meminta tolong kerana kesakitan namun kami tetap berdoa kepada Allah agar dipermudahkan jin ini keluar dan Alhamdulillah dengan izin-Nya ia keluar seperti dijanjikan," katanya.

Selepas Zawiyah tersedar, dia memberitahu badannya berasa ringan. Rasa yang sudah lama tidak dirasainya. Rasa sakit di bahagian tengkuk, dada, perut juga hilang dengan sekelip mata.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain