suria

Bapa kunci mulut nampak kelibat di homestay, sudahnya rombongan kenduri trauma diganggu! Anak syok tidur peluk makhluk ‘lembut dan sejuk’

Dua keluarga mengalami gangguan misteri sehingga ke awal pagi ketika menginap di sebuah homestay.

SEORANG gadis mendakwa dia dan keluarganya menjadi mangsa gangguan misteri ketika menginap di sebuah homestay di Perak.

Cerita Fatin Amira, mereka menetap di kediaman dua tingkat itu ketika menghadiri majlis perkahwinan saudaranya.

Terletak di tepi jalan, rumah itu juga mempunyai ruang yang luas dan disifatkan cukup selesa untuk memuatkan dua keluarga.

"Saya sekeluarga dari Kuala Lumpur ke Perak untuk menghadiri kenduri kahwin salah seorang saudara saya. Hari itu, kami sampai ke Perak petang dan terus makan-makan bersama keluarga pakcik saya yang dah tempah satu homestay untuk kami duduk bersama.

"Kiranya ada dua family yang akan duduk di homestay tersebut iaitu family saya dan pakcik. Lepas kami makan-makan, dalam senja, kami pun bergerak ke situ. Sampai sahaja, memang saya boleh katakan homestay tersebut betul-betul terletak di tepi jalan.

731465

Rombongan keluarga itu menetap di homestay ketika menghadiri kenduri di Perak. (Gambar Hiasan)

"Jadi kalau kereta lalu tu boleh dengar jelas dari dalam rumah. Kami tertarik sebab homestay tu agak besar dan ada dua tingkat. Jadi tanpa berlengah kami pun masuk untuk letak beg semua," imbas Fatin Amira.

Gadis itu turut memuji seni bina rumah tradisional berkenaan yang dihiasi tangga cantik, malah dia dan saudaranya sempat pergi ke bahagian luar untuk mengambil gambar ketika waktu Magrhib.

Jelas Fatin Amira, dia perasan kewujudan sebuah rumah usang bersebelahan homestay itu, namun pada waktu tersebut suasana masih terang dan dia tidak berfikir yang bukan-bukan.

"Dalam beberapa minit selepas kami mengambil gambar, kami pun membuat keputusan untuk masuk semula ke dalam rumah. Sebelum masuk, saya tengok rumah kayu yang agak usang bersebelahan homestay kami. Memang sunyi.

"Pada waktu itu ada juga terfikir, takkanlah rumah tinggal? Tapi memang saya tak nampak satu pun susuk manusia keluar masuk atau tanda-tanda mereka ada di dalam rumah tersebut. Jadi saya bermonolog sendiri dan terus ikut saudara saya tadi masuk ke dalam rumah," ujarnya.

Kata Fatin Amira, segalanya berubah apabila malam menjelma, malah dia gagal melelapkan mata kerana pintu biliknya di tingkat atas homestay itu beberapa kali terbuka dengan sendiri.

The twin room of Sun Inns Hotel in Puchong.

Homestay dua tingkat itu sangat luas, sekali gus memberikan keselesaan buat dua keluarga berkenaan. (Gambar Hiasan)

"Saya dan saudara tadi berserta adik perempuan duduk di bilik tingkat atas iaitu betul-betul bertentangan dengan bilik air. Boleh dikatakan naik-naik tangga je memang terus nampak bilik kami belah kiri. Saudara saya ni keluar dari bilik sekejap katanya nak bercakap telefon dengan kawan jadi tinggallah saya dan adik sahaja di dalam bilik.

"Katil kami agak besar, asalnya dua katil bujang tapi kami bertiga rapatkan katil tersebut untuk tidur sekali. Adik saya tidur di tengah manakala saya betul-betul hujung sebelah tingkap. Dalam 12 lebih tengah malam tu, adik saya dah pun tidur dan tiba-tiba saja saya terjaga dari lena.

"Saya berpaling ke kiri dan memang saudara saya tadi telah balik semula ke bilik. Tetapi apa yang menyentak saya ialah pintu bilik kami terbuka seluas luasnya. Jujurlah kalau nak cakap, saya ni kadang-kadang cepat overthinking. Masa tu agak meremanglah sebab dekat luar memang cuma ada ruang tamu dan sangat sunyi.

"Seingat saya, sebelum saudara saya keluar bercakap telefon, saya dah berpesan kepada dia tutup dan kunci pintu bila dah balik ke bilik tapi nak elak dari fikiran ni merewang yang bukan-bukan saya pun husnuzon. Mungkin dia terlupa tutup pintu bilik," katanya.

Imbas Fatin Amira lagi, dia memberanikan diri untuk bangun menutup pintu, namun ia terbuka semula tidak lama kemudian.

1119144

Gadis itu beberapa kali diganggu sebelum dia turun ke tingkat bawah untuk mengadu kepada ibu bapanya. (Gambar Hiasan)

"Saya pun apa lagi, buat selamba bangun dan tutup semula pintu bilik dengan mata ni agak kuyu. Saya tutup pintu betul-betul rapat tapi saya tak kunci takut nanti mak nak kejut bangun Subuh. Jadi saya pun balik semula ke katil dan tidur.

"Sekali lagi saya terjaga. Pada waktu ni saya sempat tengok jam telefon. Dalam pukul 2 lebih. Buka je mata saya nampak yang pintu saya tutup tadi dah terbuka seluas-luasnya semula. Meremang juga bulu roma. Siapa je nak pulas tombol pintu tu malam-malam macam ni," ujarnya.

Selepas berfikir panjang, Fatin Amira sekali lagi bangun untuk menutup pintu sebelum kembali ke katil untuk tidur bersama adik dan saudaranya.

Tidak lama kemudian, dia dikejutkan dengan bunyi tombol pintu dan melihat seolah-olah ada bayang-bayang sedang berjalan dalam rumah itu.

"Balik semula ke katil, saya cuba tidur balik tapi memang hati ni rasa tak senang. Saya jadi rasa tak selesa sangat waktu tu. Paksa punya paksa, saya tertidur sekejap. Tapi sekali lagi saya tersedar dan kali ni memang meremang habis sebab saya dengar ada orang pulas tombol pintu dari luar dan perlahan-lahan pintu tu terbuka depan mata saya ni.

"Tiba-tiba saya nampak dari bayang-bayang belah atas menghadap bumbung tu, ada orang tengah ke hulu-ke hilir luar bilik kami. Saya jadi takut sangat, jantung ni berdebar-debar," imbasnya cemas.

Tidak tahan dengan gangguan itu, Fatin Amira bertindak berani untuk turun ke bahagian bawah homestay itu dan mengejutkan kedua ibu bapanya.

dfc8f9ce981f4239850029f21524651d

Dakwa gadis itu, dia melihat bayang-bayang misteri sedang bermain di luar biliknya. (Gambar Hiasan: Pinterest)

Selepas bercerita mengenai apa yang berlaku, bapanya turut membuka mulut bahawa dia melihat kelibat seorang nenek pada waktu petang ketika mereka tiba di kediaman itu.

"Kali ni saya tak tahan dah saya bangun dari katil jalan laju buka pintu bilik terus turun bawah pergi bilik mak ayah sebab terlalu takut. Adik dengan saudara seorang lagi tu saya tinggal je sebab memang tak boleh tahan dah.

"Betul-betul lepas azan, ayah boleh pula buka mulut. Ayah ni diam je dari tadi tapi tiba-tiba dia bersuara. Semalam abah nampak ada nenek kat halaman luar rumah ni. Tapi abah buat tak tahu je, mungkin dia nak bagitahu dia duduk sini," ujarnya.

Selepas fajar menjelma, dua buah keluarga itu mula kecoh dengan kejadian itu, malah satu lagi kisah misteri turut diceritakan.

Adik kepada Fatin Amira mendakwa dia memeluk kakaknya selepas azan Subuh sedangkan gadis itu telah turut ke tingkat bawah homestay untuk ke bilik ibu bapanya.

Mereka sekeluarga terkejut dan tertanya-tanya gerangan siapakah yang dipeluk oleh adiknya pada waktu itu.

"Adik siap peluk lagi. Dengar je peluk habis meremang bulu roma saya. Mak ayah yang dengar pun tekejut. Mulalah mereka sakat. Haaa siapa adik peluk tu?

"Adik saya ni pun muka dah takut dah, dia siap cakap yang badan saya time tu sejuk dan lembut sangat. Dalam cerita dia tu dia cakap saya pakai selimut hijau sedangkan selimut hijau tak ada pun dalam bilik tu," ujarnya lagi.

Untuk rekod, Fatin Amira berkongsi pengalaman seram satu malam itu menerusi Facebook Kelab Cerita Hantu Malaysia.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain