JENAMA baju melayu popular, Elrah Exclusive bakal membuatkan pelanggannya ceria menyambut sambutan hari raya tahun ini apabila memasarkan 1.7 juta pasang baju. Walaupun diuji dengan insiden kebakaran gudang beberapa bulan lalu, ia tidak mematahkan semangat dan perjuangan Elrah Exclusive, sekali gus terus mengekalkannya sebagai jenama pilihan ramai sejak sembilan tahun lalu. Sementara itu, Elrah Exclusive turut muncul dengan kejutan baharu apabila jenama itu muncul menghiasi bangunan pencakar langit Menara TSLaw, bersebelahan menara Tun Razak Exchange (TRX) sejak 15 Mac lalu. Sass (kiri) dan Meerqeen di hadapan papan iklan elektronik gergasi di Menara TSLaw. Berkongsi keterujaan, pengasas jenama Elrah Exclusive, Mohd Hilmi Che Azman atau mesra dengan panggilan El Azman mengakui tahun ini boleh dikatakan sebagai satu permulaan kepada era gilang-gemilang buat jenama kebanggaannya itu. Meskipun pelbagai cabaran yang dilalui, El Azman menyuarakan rasa syukurnya dengan apa yang telah dikecapi Elrah Exclusive. “Saya sangat bersyukur, melihat apa yang dilalui jenama ini sejak sembilan tahun lalu, ini adalah momen yang ingin saya hargai. “Pastinya ucapan terima kasih juga saya ingin berikan kepada pelanggan Elrah Exclusive yang terus menyokong kami sehingga ke saat ini,” katanya. Memperhebatkan lagi penjenamaan, Elrah Exclusive melantik lapan duta selebriti iaitu Meerqeen, Khai Bahar, Ben Amir serta pelakon drama Projek: High Council iaitu Amir Ahnaff, Hazeeq Deen dan Fadhli Masoot serta dua bintang TikTok, Aabias dan Wan Chai. Mengenai pemilihan duta untuk mewakili Elrah Exclusive pada tahun ini, El Azman memberitahu, semuanya dibuat melalui perbincangan bersama rakan perniagaan lain. Iklan elektronik gergasi Elrah Exclusive di ibu negara. “Tahun ini kami memilih Meerqeen, Khai Bahar, Ben Amir serta pelakon drama Projek: High Council iaitu Amir Ahnaff, Hazeeq Deen dan Fadhli Masoot dan dua bintang TikTok popular, Aabias dan Wan Chai. “Pemilihan ini juga dibuat melalui undian pengedar dan pemilik butik Elrah Exclusive di seluruh negara dan pemilihan Meerqeen sendiri adalah hasil undian butik Elrah Exclusive di Setapak dan Elrah Melaka. “Malah idea untuk meletakkan wajah-wajah mereka di bangunan juga sebenarnya merupakan idea pemilik butik Elrah Exclusive di Setapak dan Elrah Melaka iaitu Syed Ahmad Syed Salim. Selepas setahun perbincangan barulah kami dapat merealisasikan impian ini,” katanya. Sementara itu, Syed Ahmad Syed Salim atau lebih dikenali sebagai Sass pula mengakui selepas kejadian kebakaran di gudang miliknya sebelum ini banyak mengajarnya untuk lebih berwaspada. Iklan elektronik gergasi Elrah Exclusive tersergam megah. “Bukan soal kerugian tetapi apabila berada di tahap ini apa yang ingin saya fokus adalah bagaimana mahu bangkit selepas melalui cabaran. Jangan pernah putus asa dan hasilnya jenama ini kekal menjadi antara jenama pilihan ramai. “Tentunya peluang yang diberikan pengasas jenama ini juga membantu anak muda seperti saya untuk lebih berjaya di masa hadapan,” jelasnya. Enggan mendedahkan kos menghasilkan iklan mega tersebut, jelas Sass, apa yang penting adalah kemunculan Elrah Exclusive di dinding bangunan tersebut memberi gambaran kemampuan jenama ini untuk bersaing dengan jenama fesyen antarabangsa lain. “Kami juga sudah berada di luar negara, cawangan di Thailand, Brunei dan Indonesia. Secara keseluruhan juga kita mempunyai lebih 10,000 ejen di seluruh negara. “Jadi peluang untuk menghasilkan iklan mega seperti ini memberi gambaran kami sudah lebih bersedia untuk pergi lebih jauh dalam perniagaan kami. “Untuk kos pengiklanan ia tidak boleh diukur dengan wang ringgit kerana ini adalah hasil kerja keras kami bersama,” ujarnya. Meerqeen merupakan antara duta Elrah Exclusive tahun ini. Sementara itu, pemilihan Meerqeen sebagai antara duta untuk tahun ini, Sass menjelaskan personaliti pelakon kacak itu menjadi kriteria utama pemilihannya. “Iklan ini akan kekal selama sebulan di bangunan tersebut bermula 15 Mac. Ini bermakna sebulan juga peminat Meerqeen boleh melihatnya di sini. “Bagi saya, personaliti Meerqeen dan disiplinnya menjadi sebab utama dia dipilih untuk mewakili jenama ini. Sebenarnya saya juga bersyukur yang dia menerimanya,” katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial)