suria

Siapa masih pakai seluar ketat? Kini lelaki makin bergaya dengan fesyen longgar, lebih selesa dan ’stylo’

Lelaki ini menukarkan fesyen kepada pakaian kelihatan lebih longgar.

BAGI golongan lelaki yang mementingkan penampilan, pastinya mereka mengetahui tentang trend terbaharu yang banyak dikongsikan di media sosial.

Antara yang terkini ialah pemakaian seluar potongan longgar yang nyata lebih selesa untuk si pemakai.

Seperti yang dikongsikan pemilik akaun TikTok ertuns, dia menunjukkan transisi perubahan gaya daripada pemakaian seluar jeans ketat (skinny atau slim fit) kepada yang lebih longgar (loose, baggy atau relax fit).

Selain daripada jeans, seluar jenis chinos, slack mahupun kargo pants sering menjadi pilihan lelaki dalam mengenakan gaya ini.

Bagi anda yang tidak berapa jelas tentang chinos, ia merupakan sejenis seluar panjang yang kebiasaannya diperbuat daripada fabrik kapas.

Kebiasaannya ia tampil dengan warna khaki hitam atau biru.

Berikut adalah panduan memilih seluar untuk anda yang masih buntu seperti dikongsikan Maskulin.

1. Ukur pinggang dan cawat

Sama seperti seluar jenis lain, ia haruslah mempunyai saiz yang sama padan dengan pinggang.

Dalam erti kata lain ia tidak akan terlondeh jika dipakai bersama dengan tali pinggang.

Bagi seluar jenis longgar, kedudukan pinggangnya lebih rendah berbanding seluar sut.

Anda juga boleh memilih seluar yang pinggangnya sama seperti jeans yang selalu dipakai.

Manakala di bahagian cawat pula, pastikan ia tidak terlalu longgar atau ketat.

Pastikan cawat seluar yang ingin dipilih memberikan ruang selesa di bahagian punggung.

Jika masih kelihatan tidak sepadan dengan anda, bawa seluar ke kedai tukang jahit untuk melakukan sedikit ubah suai.

2. Bahagian paha dan kaki

Berbeza dengan jeans ketat, seluar chinos perlu ada sedikit ruang di bahagian peha.

Jika ditarik ia seharusnya berukuran 1 inci dan tidak lebih 1.5 inci.

Sama juga di bahagian kaki, jangan pakai seluar yang terlalu ketat seperti skinny jeans.

3. Labuh seluar

Sebagai orang Asia kita selalu berdepan masalah seluar labuh jika membeli seluar jenama luar negara dari Eropah atau Amerika Syarikat.

Jika ia terlalu labuh, anda boleh bawa ke kedai jahitan dan dapatkan ukuran yang sesuai.

Jika anda menggayakan kasut dengan gaya sockless, pakailah seluar yang agak senteng dengan kedudukan panjangnya sedikit di atas buku lali.

Jangan biarkan ia menjadi terlalu labuh kerana ia hanya mewujudkan lipatan yang tidak menarik dipandang.

Namun jika anda gemarkan gaya melipat kaki seluar, ia tidak seharusnya melebihi dua kali lipatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain