MEMASUKI alam pekerjaan pasti akan memberi satu pengalaman yang baharu terutama sekali dalam hal pengurusan kewangan. Memang betul, perancangan kewangan yang bijak sering kali melibatkan soal disiplin dalam menabung dan cara seseorang berbelanja. Seperti yang dikongsikan di platform X, lelaki ini menyarankan supaya golongan muda 'ikat perut' untuk tempoh empat tahun pertama selepas mula bekerja. Ini bagi memastikan pengurusan kewangan yang baik dapat dicapai di masa hadapan sebagaimana dipesan oleh datuknya sebelum ini. Berikut adalah penjelasan serta kaedah untuk menyimpan sehingga RM30,000 dalam masa empat tahun. 1. Fasa penyimpanan awal Dalam fasa ini, penting untuk hidup secara sederhana dan fokus pada pembinaan simpanan dan memastikan kewangan stabil sebelum berbelanja lebih. 2. Sasaran simpanan Apabila sudah mencapai sasaran simpanan yang ditetapkan (RM25,000 hingga RM30,000), barulah lebih selamat untuk berbelanja dengan selesa tanpa menjejaskan kestabilan kewangan. Ini membantu mengurangkan tekanan kewangan di masa hadapan dan memberi ruang untuk menikmati hidup dengan lebih baik. Golongan muda perlu berpada-pada ketika membeli belah atau berbelanja. 3. Belanja mengikut kemampuan Dengan simpanan yang cukup, anda boleh memberi ruang untuk belanja yang lebih, seperti makan di restoran mahal, membeli pakaian, atau melancong. Ini adalah satu cara untuk menghargai usaha atau self reward atas kerja keras yang telah dilakukan, selagi perbelanjaan itu tidak mempengaruhi simpanan dan kewangan jangka panjang. 4. Kepentingan disiplin kewangan Walaupun mempunyai simpanan, adalah penting untuk latih diri supaya berdisiplin agar tidak berbelanja secara berlebihan. Ini bagi mengelakkan diri daripada terjerumus ke dalam tabiat berbelanja yang tidak terkawal dan memastikan simpanan anda sentiasa mencukupi. 5. Pengurusan kewangan berhemah Menabung RM400 sebulan adalah satu langkah yang baik walaupun simpanan tidak selalu membenarkan anda untuk berbelanja secara berlebihan. Bagaimanapun, anda tetap boleh menikmati beberapa barangan luxuries (mewah) yang diinginkan secara berkala. Matlamat adalah untuk mencari keseimbangan antara simpanan dan perbelanjaan. Dalam pada itu, individu berkenaan turut menegaskan bahawa apa yang berguna untuk seseorang itu mungkin tidak sesuai bagi orang lain. Bagaimanapun, penting untuk menyesuaikan nasihat kewangan dengan keadaan peribadi dan keperluan individu masing-masing. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube