suria

Penaja hadiah tak jadi bagi Bell Ngasri kereta Mercedes Benz, ada sebab tukar Mini Cooper Clubman

PEMILIK syarikat kenderaan DTC Motors iaitu Afendy Wahid memohon maaf jika ada pihak tidak berpuas hati dengan hadiah kereta jenama Mini Cooper Clubman yang diberikan kepada pelakon Bell Ngasri.

Kata Afendy, dia ikhlas mahu menghadiahkan kereta mewah itu sebagai penghargaan kepada Bell yang telah menghiburkan rakyat Malaysia selama 37 tahun.

“Pertama sekali saya nak memohon maaf kalau ada di luar sana macam tidak berpuas hati.

“Hadiah ini memang ikhlas daripada saya, saya tak pernah merancang (hadiahkan kereta kepada Bell Ngasri), memang secara spontan... kebetulan pula Khairy Jamaluddin uar-uarkan di Hot FM sebelum itu.

“Saya mewakili pihak syarikat DTC Motors dan Femar Sdn Bhd memang seikhlas hati mahu menghadiahkan Bell sebuah kereta.

“Selama 37 tahun Bell menghiburkan rakyat Malaysia tanpa penat lelah dan inilah masanya untuk hargai dia, dengan berkongsi rezeki mana tahu ada juga rezeki untuk kami,” katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Afendy turut memberitahu pada awalnya dia mahu memberikan hadiah kereta jenama Mercedes Benz E Class Coupe kepada pelawak berkenaan.

Namun, pihaknya menukar kepada Mini Cooper memandangkan kenderaan tersebut kurang sesuai untuk Bell yang sudah berkeluarga.

Dalam perkembangan lain, Afendy memberitahu sempena meraikan Bell Ngasri, syarikat DTC Motors mahu memberikan diskaun sehingga RM50,000 mengikut jenis kereta buat pembeli bermula 1 Ogos sehingga 31 Ogos 2023.

TONTON VIDEO TEMUBUAL YANG DISEDIAKAN MSTAR INI



Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi