suria

Surat untuk Fatima luahan hati Puteri Balqis, tak mahu anak Fattah dan Fazura lalui pengalaman sama

PELAKON Puteri Balqis menjelaskan dia menulis surat terbuka buat Fatima Aisya adalah kerana tidak mahu anak kepada Fattah Amin dan Fazura itu menghadapi perkara yang sama dilaluinya sebelum ini.

Balqis atau Puteri Balqis Azizi, 17, berkata, dia enggan melihat Fatima membesar dalam keadaan mental terganggu sepertinya memandangkan anak kepada pasangan pelakon itu dibesarkan dengan kasih sayang yang secukupnya.

“Ya, saya tulis surat itu ada kaitan dengan kisah sebelum saya. Saya telah melalui banyak perkara. Jadi, saya tidak mahu Fatima jadi ‘broken’ sebab dia dilahirkan dalam keluarga yang sangat menyayanginya.

“Saya tidak ada hak untuk komen apa-apa. Saya cuma bagi perspektif sebagai seorang anak sahaja,” katanya kepada mStar.

Dalam masa sama, Balqis secara jujur mengakui masih terkesan apabila mendengar atau membaca kisah berkaitan dengan ibu dan anak.

Bagaimanapun pelakon drama Sebelum Titik Noktah itu berkata dia tidak mengalami kesedihan yang melampau sehingga menyebabkan kemurungan.

“Ya saya terkesan. Sebelum ini saya tidak dapat peluang untuk melindungi ibu saya sendiri, sekarang baru dapat. Saya berasa melankolik (sedih). Jiwa saya banyak sangat ke arah kesedihan tetapi bukanlah yang jenis berkurung semua itu.

“Saya tidak suka kongsikan perasan saya dan sebab itu saya luahkan dalam penulisan puisi saya. Saya cuma kongsi kepada orang terdekat sahaja,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Balqis bakal muncul dalam drama bergenre fiksyen dan thriler iaitu Sebelum Titik Noktah yang ditayangkan bermula 11 November, setiap Isnin pukul 11 malam menerusi Saluran 120 di Unifi TV.

Drama terbabit turut dibintangi Aiman Hakim Ridza, Noki, Danny X-Factor, Shabby, Mathni Razak dan Alif Muhaimin.

TONTON VIDEO PENUH DISEDIAKAN MSTAR INI.



Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi