suria

Alif Satar masih sama selepas 18 tahun, masuk fasa cari keseronokan dalam bekerja

PENYANYI dan pelakon Alif Satar tidak pernah terfikir ataupun mengejar sebarang anugerah di dalam industri hiburan sejak bergelar selebriti 18 tahun lalu.

Alif atau Alif Mohd Satar, 34, berkata, dia menceburkan diri dalam bidang seni semata-mata kerana minat dan ingin menghiburkan orang ramai.

“Saya tak pernah rasa perlu kejar untuk menang mana-mana anugerah. Fokus saya ingin menghiburkan khalayak.

"Kalau saya menyanyi atas pentas sesebuah acara anugerah pun, persoalan itu tak pernah terlintas pun.

“Itu bukan permainan saya sebagai anak seni. Matlamat saya lain,” katanya kepada mStar.

Dalam perkembangan lain, Alif juga memaklumkan yang dia bukanlah seorang pelakon yang cerewet atau selektif dalam menerima sebarang tawaran lakonan.

“Tidak pernah langsung menjadi artis yang memilih atau cerewet dalam pemilihan naskhah dan produksi yang ingin saya bekerja.

"Kalau orang lain nak cerewet, itu hak mereka. Saya cuma buat apa saya suka dan kini dalam fasa mencari keseronokan diri sendiri,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Alif merupakan salah seorang pelakon dalam filem Reeza GTR yang bakal ditayangkan di seluruh Malaysia pada 17 Oktober depan.

Filem yang menggabungkan tiga genre iaitu aksi, komedi dan romantik itu turut dibintangi oleh Sophia Albarakbah, Noki, Ropie, Yassin, Nelissa Nizam dan Eizlan Yusof.

TONTON VIDEO PENUH TEMU BUAL DISEDIAKAN MSTAR INI



Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi