suria

Diana Danielle puas hati tercalon di FFM33, ada individu lain layak genggam trofi ‘Pelakon Wanita Terbaik’

PELAKON Diana Danielle tidak meletakkan sebarang harapan untuk memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) menerusi lakonannya dalam filem Imaginur.

Jelas Diana atau Diana Danielle Danny Beeson, 33, ini kerana dia merasakan terdapat individu lain lebih layak menggengam trofi kategori tersebut kerana watak dilakonkan itu sangat mencabar.

“Saya tidak ada harapan kerana bagi saya Imajinur sudah melimpah ruah rezekinya. Jadi, penerimaan dan juga sokongan daripada semua penonton sudah cukup. Saya sangat hargai semua itu.

“Kalau industri beri penghargaan itu adalah bonus. Kalau tidak menang, kita boleh cuba lagi. Persaingan sengit. Bagi saya, ada yang paling layak untuk menang sehinggakan saya pun mahukan dia menang.

“Saya sangat gembira kalau dia menang sebab usaha yang dia letak untuk karakter itu terlalu tinggi. Saya bukan orang yang berdaya saing,” katanya kepada mStar.

Bagaimanapun, Diana tetap mengharapkan supaya filem Imajinur arahan Nik Amir Mustafa itu berjaya untuk mendominasi kemenangan di FMM33 pada Sabtu ini.

Untuk info, filem Imaginur beroleh pencalonan tertinggi pada FFM33 dengan 15 daripada 24 kategori yang dipertandingkan.

Ia termasuklah Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Pelakon Wanita Harapan, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pengarah Terbaik, Poster Terbaik dan Sinematografi Terbaik.

Selain itu, filem itu turut membolosi kategori Skor Muzik Asal Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Penyunting Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan FilemTerbaik.



Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi